Noor Azimah malapetaka buat pendidikan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keengganan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek berganjak dari keputusan melantik Aktivis G25, Datin Noor Azimah Abdul Rahim sebagai Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) merupakan malapetaka buat sistem pendidikan negara.

- Advertisement -

Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK), Normala Sudirman berkata, ia sekali gus menyebabkan berlaku krisis kepercayaan dalam kalangan waris pelajar terhadap masa depan sistem pendidikan negara.

“PENDIDIK rasa kesal dan dukacita atas tindakan Menteri Pendidikan yang tidak menghiraukan bantahan dari kalangan waris pelajar, NGO dan pihak lain berkepentingan dalam pendidikan kerana mengekalkan Noor Azimah,” luahnya.

Menurutnya, Dr Maszlee menggambarkan bahawa komposisi anggota MPPK adalah cita-citanya mewujudkan ekosistem pendidikan berdaya saing secara global, di samping memupuk tiga nilai teras berkaitan.

Namun bidas Normala, ia adalah retorik semata-mata bertujuan menggaburi keresahan banyak pihak atas bantahan kerana bimbang dengan latar belakang Noor Azimah yang cenderung kepada fahaman Liberal dan Sekular.

Jelasnya, bantahan PENDIDIK kerana bimbang dasar dan sistem pendidikan kebangsaan akan dipengaruhi fahaman Liberal, di mana ia bertentangan Islam, di samping menjadi agenda musuh Islam merosakkan akidah umat.

“Membuka ruang kepada golongan Liberal mencorak sistem dan dasar pendidikan hanya mengundang malapetaka kepada generasi pelajar Islam. Sedangkan mereka akan menjadi pewaris kepada kepimpinan negara masa depan.

“Sikap ditunjukkan Menteri adalah tidak baik dan meremehkan pandangan pihak lain. Ia juga seolah-olah menghantar mesej kepada rakyat, ‘kuasa’ ditangannya membolehkan dia lakukan apa saja, walaupun ia dibantah,” kesalinya.

Sebelum ini, Noor Azimah pernah mengeluarkan kritikan kontroversi mempersoalkan cadangan menerapkan peraturan wajib solat sebelum pulang ke rumah sebagai inisiatif holistik meningkatkan disiplin pelajar.

Malah, pernah juga terlibat dalam Program Dua Bahasa (DLP) yang dibantah banyak pihak kerana bercanggah dalam Akta Pendidikan Kebangsaan dan Akta 152 dalam pendidikan negara.

“Adakah Menteri tidak tahu fahaman Liberal sebakul dengan Pluralisme, Feminisme, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, LGBT, Kristianisasi serta Evangelis? Agenda mereka ialah untuk rosakkan akidah dan pegangan Islam di kalangan umat Islam?

“Ia tidak boleh dibiarkan meresap dan mengambil bahagian di dalam menentukan hal berkaitan sistem dan dasar dalam pendidikan kebangsaan. Kita mengimpikan generasi masa hadapan dapat dibentuk sahsiahnya.

“Kita mahu agar mereka mematuhi ajaran Islam dan menjadi pelajar yang memiliki jati diri unggul dalam menghadapi gejala sosial yang kian meruncing mutakhir ini,” katanya lagi menyeru bantahan diteruskan. -HARAKAHDAILY 3/9/2018

- Advertisement -