Merdeka sebenar ialah kembali kepada Allah

- Advertisement -

HARI ini 31 Ogos 2018. Sekali lagi negara menyambut apa yang dinamakan sebagai hari kemerdekaan yang diisytiharkan pada tarikh 31 Ogos setiap tahun sempena kemerdekaan negara dari penjajahan British pada 31 Ogos 1957.

- Advertisement -

Seluruh negara berbangga mempunyai sebuah negara yang merdeka dari penjajahan. Tahun 2018 ialah tahun ke-61 negara ini bebas dari cengkaman penjajah setelah separuh alaf bersilih ganti dijajah oleh kuasa-kuasa asing. Penuh kelainannya ialah tahun 2018 ini ialah tahun pertama hari kemerdekaan disambut selepas tumbangnya Barisan Nasional (BN) yang telah menunjangi pentadbiran ini semenjak tahun 1957 (bermula dengan nama Parti Perikatan).

Merdeka tentu sepatutnya lebih baik dari terjajah. Bahkan itulah makna kemerdekaan yang difahami sejagat. Seorang penulis Perancis, Albert Camus (1913-1960) pernah mengungkapkan, “Freedom is nothing but a chance to be better.”

Islam meletakkan nilai kemerdekaan atau istiqlal yang sebenar ialah apabila manusia memusatkan pengabdian hanya kepada Allah S.W.T. Tidak terikut dengan budaya asing yang bercanggah dengan kehendak Pencipta Yang Maha Agung. Perhatikanlah bagaimana Islam membebaskan manusia dari sebarang ikutan terhadap kuasa mahupun pengaruh asing sama ada dari sudut iktikad, perbuatan bahkan cara hidup.

Pembebasan pertama yang diwahyukan Allah terhadap umat Islam ialah bebas daripada ikatan Yahudi melalui pembebasan kiblat yang berlaku pada bulan Sya’ban tahun ke-2 Hijrah. Kiblat yang asalnya diletak arah tujunya ke Baitul Maqdis telah dijadikan bahan cercaan oleh orang-orang Yahudi bahawa agama Islam hanyalah menurut syariat agama Yahudi. Lalu ‘dibebaskan’ umat Islam daripada ikatan tersebut dengan dikuatkuasakan perubahan kiblat ke Baitullah di Tanah Suci Makkah.

Demikianlah Islam meletakkan nilai keistimewaan umat ini agar tidak terikut-ikut dengan budaya kaum lain apatah lagi jika ia menjadi bahan untuk menambah cercaan kepada umat Islam. Bahkan dari sudut berkata-kata, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”, (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: “unzurna”, dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang Kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(al-Baqarah: 104)

Kata-kata raaina ialah kata-kata yang dilafazkan oleh orang-orang Yahudi dan perintah Allah ke atas umat Islam agar berbeza dari sudut adab tutur katanya agar berbeza dengan umat yang dimurkai oleh Allah S.W.T.

Demikian juga dengan amalan Rasulullah S.A.W yang pernah memerintahkan agar puasa pada 10 Muharram dimulakan dari tarikh 9 Muharram agar berbeza dengan orang-orang Yahudi.

Berbeza itu bukanlah semata-mata untuk berbeza. Tujuan perbezaan tersebut ialah menolak amalan yang tidak baik dan meletakkan jaiti diri tersendiri di dalam jiwa kaum Muslimin agar mereka mengerti bahawa bernilainya hidup ini ialah apabila berada dalam acuan yang ditentukan oleh Allah S.W.T sebagainya firmanNya yang bermaksud :

“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat.”

(al-Baqarah: 138)

Hari ini negara menyambut kemerdekaan dalam suasana Pilihan Raya Umum ke-14 baru sahaja berlalu. Suasana dan iklim politik tentunya berbeza selepas Barisan Nasional tewas buat pertama kali. Umat Islam harus melihat dengan cermin mata yang bebas dari sebarang habuk untuk membuat penilaian; adakah suasana yang ada pada hari ini memberikan kelebihan kepada Islam?

Perjalanan negara ini berada di tangan kita rakyat Malaysia. Hari kemerdekaan akan terus disambut saban tahun sekalipun kita sudah hilang lenyap ditelan tanah. Namun, adakah pada setiap kali laungan merdeka dilaungkan itu, Islam semakin bertapak di tangga lebih atas atau semakin turun ke tangga bawah?

Adakah semakin lantang suara-suara yang menuntut agar dirungkaikan ikata-ikatan Islam atas nama kebebasan hak asasi manusia atau semakin luntur? Apatah lagi sudah ada yang bertaraf Menteri sanggup bersama-sama mengerjakan ibadat dengan golongan Syiah yang terbukti kesesatannya? Ada pula yang gagal membezakan perbincangan demi kemaslahatan ummah tanpa melibatkan program taabbudiyyah dengan ziarah mahabbah yang terang-terang melibatkan ibadah sekali gus bererti pengiktirafan terhadap pegangan golongan ini!

Lalu golongan agamawan juga sepatutnya bertanya diri sendiri, semakin ke belakangkah agenda Islam atau semakin gagah melangkah ke hadapan?

Justeru, sebelum negara melangkah ke Pilihan Raya Umum ke-15, kita akan menyambut hari kemerdekaan negara mungkin tiga atau empat kali lagi. Maka merenunglah sekalian makhluk yang diberikan akal, ke arah mana kemerdekaan negara mahu dipacu. Apa yang nyata, kemerdekaan yang sebenar wajib dipupuk kefahamannya di kalangan umat Islam ialah kembali kepada pengabdian hanya kepada Allah S.W.T.

Selamat menyambut hari kemerdekaan negara ke-61.

“Mara Menuju Cita”

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 31/8/2018

- Advertisement -