1 Sept harga barangan meningkat semula

- Advertisement -

TUMPAT: Dua hari lagi rakyat negara ini akan menerima bebanan baru apabila muncul semula cukai terselindung, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikuatkuasakan bermula 1 September ini.

- Advertisement -

Kerajaan mengumumkan sebanyak 793 barangan dicukaikan 5 peratus dan 5,612 barangan pula dicukaikan pada kadar 10 peratus.

Manakala sebanyak 25 kategori perkhidmatan dicukaikan pada kadar 6 peratus.

Seorang usahawan sektor binaan menjangka harga barangan keperluan akan meningkat mulai 1 September ini dan mungkin melebihi pada era Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Hujahnya semasa tiga bulan tiada sebarang cukai dikenakan terhadap barangan dan perkhidmatan pada Jun hingga Ogos tidak juga berlaku penurunan harga.

“Harga barangan tetap kekal seperti era GST. Cuma yang berbeza ketika pembelian tiada lagi dicatat cukai 6 peratus pada resit barangan yang dibeli.

“Sedangkan harga barangan tidak banyak berubah. Sepatutnya apabila cukai tiada bermakna harga barangan akan turun,” katanya di sini.

Menurutnya juga kerajaan gagal untuk memaksa peniaga menurunkan harga seperti era sebelum GST kerana kelemahan aspek penguatkuasaan.

Kata beliau kerajaan sukar untuk bertindak terhadap peniaga kerana sistem kapitalis dan pasaran bebas yang diamalkan di negara ini.

Malah katanya, kerajaan juga mempunyai hubungan rapat dengan pemain industri yang menguasai ekonomi negara ini.

“Ia berbeza dengan sistem komunis di mana kerajaan boleh bertindak terhadap peniaga yang enggan menurut peraturan,” katanya.

Oleh itu beliau menjangka apabila harga barangan sekarang kekal seperti era GST, maka ia meningkat setelah SST dikuatkuasakan. – HARAKAHDAILY 30/8/2018

- Advertisement -