Ahli haraki harus kritikal wacanakan isu idealogi

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Serangan pemikiran terhadap umat Islam telah berlaku sebelum kejatuhan Uthmaniah lagi dan ia menjadi senjata ampuh musuh sejak zaman berzaman lebih dari serangan fizikal.
 
Penulis prolifik, Alang Ibn Shukrimun menegur sikap segelintir anggota dalam Gerakan Islam yang memperlekehkan perbincangan mengenai idealogi atau pemikiran kononnya sebagai tidak produktif.
 
“Kata mereka, bincang bab taujihat jihad, amal Islami dan seumpamanya (saja). Biar semangat orang nak buat kerja. Tahukah kalian, perbincangan mengenai idealogi adalah tajuk mengenai akidah?
 
“Apa lagi yang lebih penting selain akidah? Bila akidah rosak, tak ada guna lagi segala jihad dakwah dan amal Islami dilakukan. Allah tak akan terima,” tegur beliau yang nama sebenarnya Muhammad Marwan M Shukrimun.
 
Seru beliau, sekiranya tidak mampu untuk berbincang mengenai pemikiran, sekurang-kurangnya hargai mereka yang berusaha memahamkan abnaul harakah mengenai hal tersebut, bukan memperlekehkan.
 
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Kawasan Bakri, Ustaz Mohd Adlan Mokhtaruddin berkata, pemangkin kepada fahaman Sekular masa kini disuntik dari jarum idealogi para Orientalis.
 
Menjelaskan mengenai perkara itu, beliau memberikan contoh tindakan pemerintah yang kononnya mahu dilihat tidak berpihak kepada mana-mana agama, tetapi bantuan besar diberikan kepada sekolah selain Islam.
 
Malah menurut beliau, orang Islam pula diminta bersikap neutral dengan semua agama, tetapi orang Kristian semakin kuat pegangannya, sedang orang Islam yang cuba berpegang teguh agamanya dikatakan fanatik.
 
“Dan membiasakan golongan terpelajar untuk memandang sinis terhadap agama. Ketika sama orang Islam sentiasa diperintah dan tidak mengemukakan cita-cita untuk agama menjadi pegangan hidup.
 
“Golongan minoriti pula diberi perhatian, dalam keadaan hak golongan majoriti makin terhakis. Keinginan untuk mendalami Islam akan dipudarkan, jika adapun sudah tidak objektif lagi,” hujahnya membentangkan realiti-realiti tersebut.
 
Tambahnya, dapat dilihat walaupun kerajaan bertukar tangan, tiada usaha melaksanakan Islam, bahkan bersikap sama dan terkadang lebih keras berbanding sebelumnya.
 
Oleh itu tegas beliau, pemerhatian, penelitian dan perbincangan terhadap isu idealogi ini perlu sentiasa diberi perhatian oleh anggota Gerakan Islam yang punya peranan untuk menanganinya.
 
“Orientalis sendiri menyediakan saranan untuk dibaca dan diperhatikan. Tujuannya memudarkan lagi keyakinan terhadap Islam. Antaranya Islam itu fanatik, disyariatkan dengan pedang, tiada toleransi terhadap agama lain.
 
“Juga hanya untuk Arab. Inilah jarum yang telah ranapkan Kerajaan Islam di Acheh, juga merosakkan pemikiran orang Islam di Indonesia. Apakah kita mahu ia jadi giliran kepada kita di Malaysia?” ajunya mengajak renungan. -HARAKAHDAILY 29/8/2018
- Advertisement -