Perairan Malaysia perlu dikawal dengan helikopter

- Advertisement -
MARANG: Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan agar lebih banyak helikopter digunakan untuk mengawal keselamatan perairan negara.
 
Menurut beliau, hasil lawatan ke luar negara seperti di Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain menyaksikan perairan negara berkenaan dikawal dengan ketat menggunakan helikopter.
 
Hal itu jelas beliau, supaya hasil laut tidak terjejas akibat pencerobohan nelayan asing kerana bukan sahaja pentingnya penguatkuasaan, malah mesti dilakukan kawalan yang ketat.
 
“Dengan alat-alat yang uzur sudah tentu kita tak mampu melaksanakan itu tetapi mesti dibuat menurut kepada kemampuan kita,” katanya yang juga Presiden PAS ketika merasmikan Program Melabuh Unjam di perairan Kuala Marang, di sini kelmarin dahulu.
 
Serunya, kerjasama semua pihak perlu, bukan sahaja penguatkuasa dan pemerintah, tetapi termasuk nelayan sendiri untuk kepentingan mereka agar berjaya meningkatkan rezeki dengan pertolongan Allah S.W.T.
 
“Pihak (Jabatan) Perikanan letak tukun, letak pelampung, dia kerat pelampung termasuk yang guna kabel cari kikir kerat.
 
“Ini langkah tidak bijak kerana merosakkan diri dia sendiri menyebabkan mereka yang memukat selepas itu tak kena pukat ikan pun lari dan macam-macam boleh berlaku,” ujarnya.
 
Menurutnya, para nelayan menghadapi kekurangan hasil laut kerana kesilapan manusia itu sendiri dan mereka mengambil langkah untuk meningkatkan hasil laut dengan melabuhkan unjam di perairan laut.
 
“Ini adalah tindakan yang mudah dan segera serta kosnya tidak tinggi, adapun yang besar perlu pada masa dan kos yang besar.
 
“Hari ini kita menyaksikan satu cara yang moden dan ilmu yang sepatutnya kita gunakan ialah dengan cara yang segera dan saya difahamkan tindakan mutakhir agak sedikit berkesan dengan lebih baik lagi,” jelasnya.
 
Justeru, beliau berharap agar nelayan sendiri yang menjaga unjam tersebut. -HARAKAHDAILY 29/8/2018
- Advertisement -