Kristian dan krisis istana gugat Demak

- Advertisement -

KEWAFATAN mengejut Sultan Trenggono pada 1546M di medan perang Panarukan dalam menghadapi Blambangan telah memberikan kesan buruk kepada kedudukan Demak sebagai kuasa politik Islam. Perebutan kuasa yang berlaku telah merosakkan kestabilan politik dan mengundang krisis dalam keraton Demak. Krisis ini turut memberikan kesan yang besar terhadap keseluruhan perkembangan Islam di Nusantara. Ia bukan sahaja menyebabkan gerakan dakwah terhenti, tetapi juga telah mengundang campur tangan kuasa asing di Jawa. Kelemahan Raden Mukmin dalam menangani krisis politik yang berlaku dalam keraton Demak telah membawa kepada perang saudara yang menyebabkan ulamak-ulamak juga berselisih sesama sendiri, termasuk konflik pembunuhan Raden Mukmin (Sunan Prawoto) yang dikaitkan dengan rancangan asal Sunan Kudus. Seluruh konflik ini akhirnya meruntuhkan Demak dalam masa yang cepat.

- Advertisement -

Tempoh selama 71 tahun (1478-1549M) telah memperlihatkan kebangkitan Islam secara besar-besaran di Jawa, selepas tiga perempat daripada abad ke-15M, gerakan dakwah dipimpin oleh Majlis Dakwah Wali Songo, iaitu sejak 1404M. Namun ternyata, dengan kebangkitan Demak, api kebangkitan Islam membakar dengan cepat sehingga beberapa Kesultanan Islam wujud di bawah naungan Demak seperti Cirebon Dan Banten, manakala kawasan-kawasan lain turut di-Islam, termasuk kawasan Kepulauan Nusantara. Namun kebangkitan mendadak ini berjaya dibendung oleh Portugis melalui kegiatan ejen mereka yang memperalatkan kelemahan Sunan Prawoto dan krisis yang berlaku, bukan sahaja untuk menyekat perkembangan Demak, bahkan meruntuhkannya. Keruntuhan Demak ini walaupun bergantian dengan Pajang (1549-1586M) dan Mataram (1587-1755M), namun ternyata mereka tidaklah seunggul Demak, terutama dalam menghadapi serbuan penjahah Belanda mulai abad ke-17M.

Perebutan takhta dan krisis Keraton Demak

Sebaik sahaja kewafatan Sultan Trenggono pada 1546M, proses mengangkat Pangeran (Raja) telah tergendala kerana terdapat lapan calon pewaris, di mana baginda semua akan diangkat oleh 16 ulamak anggota Ahlul Halli Wal Aqdi. Ketika proses memilih pangeran ini sedang berjalan, Adipati Muslim Panarukan telah berperang dengan Adipati Cirebon, Kiyai Sedah kerana Adipati Cirebon tidak berpuas hati dengan Adipati Muslim yang bertindak ke atas perompak di pelabuhan Demak. Peperangan ini telah menghancurkan keseluruhan kota Demak, kecuali Masjid Agung Demak. Kerana itu, Raden Mukmin kemudiannya memindahkan pusat pemerintahan ke Gunung Prawoto. Setelah peperangan ini padam, Pate Sidayo (Adipati Sedayu) yang tidak termasuk dalam senarai lapan pewaris diangkat sebagai penguasa sementara Demak. Setelah itu, Raden Mukmin, putera Sutan Trenggono diangkat sebagai Sultan Demak keempat pada 1546M.

Beberapa tokoh seperti Arya Penangsang (Adipati Jipang atau sepupu Raden Mukmin) dan Jaka Tingkir (Adipati Pajang atau menantu Sultan Trenggono) adalah antara yang terlibat dalam pemilihan ini. Arya Penangsang adalah putera Raden Kikin (Sekar Seda Ing Lepen), kekanda Sultan Trenggono yang didakwa mati dibunuh oleh upahan Raden Mukmin, sedangkan Jaka Tingkir adalah anak Kebo Kenongo (Ki Ageng Pengging) yang dijatuhkan hukuman mati oleh Sunan Kudus atas tuduhan menganut ajaran Sheikh Siti Jenar dan merancang untuk memberontak terhadap Raden Patah. Bagasi sejarah mengenai konflik-konflik antara mereka telah menyulitkan para ulamak untuk memilih pewaris, sekali gus menimbulkan pula pertentangan antara Wali Songo. Saat memilih Pengeran ini, Sunan Giri Prapen (Giri III) telah mencalonkan Sunan Prawoto (Raden Mukmin) sebagai Sultan kerana baginda adalah putera Sultan Trenggono. Tetapi Sunan Kudus berpandangan Arya Penangsang, putera Raden Kikin lebih layak kerana dia adalah cucunda dari putera sulung Raden Patah yang lebih berwibawa untuk menggantikan Sultan Trenggono. Sunan Kalijaga sebaliknya melihat Jaka Tingkir lebih layak kerana kewibawaannya sebagai Adipati Pajang, sekali gus menantu Sultan Trenggono.

Pada akhir pemilihan itu, Sunan Prawoto telah terpilih, lalu diangkat sebagai Sultan Demak keempat. Sunan Kudus yang tidak berpuas hati telah bertindak membocorkan rahsia pembunuhan Raden Kikin kepada Arya Penangsang yang menyebabkan Adipati Jipang itu menghantar upahan untuk membunuh Sunan Prawoto. Sunan Kudus juga tidak senang dengan Sunan Prawoto kerana mengikuti langkah Sultan Trenggono yang telah melebihkan Sunan Kalijaga sebelumnya sehingga beliau melepaskan jawatan dalam Kerajaan Demak. Akibatnya, Arya Penangsang telah berjaya membunuh Sunan Prawoto dan permaisurinya pada 1549M, diikuti oleh pembunuhan ipar Sunan Prawoto, Pangeran Hadiri (suami Ratu Kalinyamat). Pengeran Hadiri dan Ratu Kalinyamat pada asalnya menemui Sunan Kudus untuk menuntut bela atas pembunuhan Sunan Prawoto, tetapi Sunan Kudus menganggap ia wajar kerana Sunan Prawoto terlibat membunuh Raden Kikin sebelumnya, setelah itu, Pengeran Hadiri pula dibunuh oleh Arya Penangsang. Arya Penangsang kemudiannya menjadi Raja Demak seketika, sebelum dibunuh oleh Adipati Pajang, Jaka Tingkir. Sebenarnya, ketiga-tiga mereka (Sunan Prawoto, Arya Penangsang dan Jaka Tingkir) adalah tokoh-tokoh agama yang merupakan murid Sunan Kudus.

Segundo Truco: Peranan ejen Sepanyol dalam keruntuhan Demak

Di sebalik krisis yang tercetus dalam keraton Demak, pemangkatan Sunan Prawoto sebagai Sultan Demak telah membawa kepada satu rancangan besar untuk melanjutkan penaklukan Empayar Demak. Kedudukan Sultan Trenggono sebagai “The Emperor of All the Islands in the Archipelago” telah membawa kepada cita-cita Sunan Prawoto untuk meng-Islamkan seluruh Nusantara dan menjadi “Segundo Truco” (Sultan Turki Kedua), seperti Khalifah di Istanbul. Sunan Prawoto berhasrat untuk menguasai semua kawasan yang belum di-Islamkan Nusantara, selain membebaskan wilayah yang diduduki oleh Portugis seperti Melaka, Ambon, Ternete dan juga Cebu. Dengan itu, Demak akan bergabung dengan Aceh dan Brunei untuk menjadi kuasa politik Islam di Nusantara, seperti Daulah Othmaniyah menguasai Rantau Asia Barat dan Afrika Utara. Sebagai langkah pertama, pada 1547M, baginda merancang untuk mengirim ekspedisi ke Sulawesi Selatan bagi meng-Islamkan Pulau Bugis itu, dan mengatur strategi melemahkan Portugis dengan menutup sumber makanan ke Melaka. Sunan Prawoto melihat penguasaan Demak ke atas Laut China Selatan, Laut Jawa, Selat Sunda dan Kepulauan Riau akan menghalang laluan perdagangan ke Melaka, kerana Utara Selat Melaka telah dikuasai oleh Aceh.

Menyedari rancangan besar ini, seorang pegawai Portugis, Manuel Pinto yang berada di Melaka, telah memaklumkan kepada Uskup Besar di Goa, India pada akhir 1548M, bahawa rancangan Pastor Vicente Viegas untuk menyebarkan Kristian di Sulawesi Selatan akan terhalang oleh tindakan Sunan Prawoto. Manuel Pinto kemudian bergerak ke Makasar, sebelum ke Demak menemui Sunan Prawoto. Portugis berusaha memanipulasikan pergolakan dalam pemilihan pewaris takhta dan konflik di kalangan Wali Songo untuk menyekat kemaraan Demak. Disebabkan krisis dalam keraton Demak, Sunan Prawoto menerima kehadiran ejen Portugis ini sebagai dukungan untuk menghadapi Arya Penangsang dan Sunan Kudus. Pinto kemudiannya mempengaruhi Sunan Prawoto supaya tidak bertindak ke atas Melaka dan tidak meluaskan pengaruh Demak ke Sulawesi, sebaliknya mengesyorkan supaya Sunan Prawoto memperkukuhkan kedudukannya sebagai Sultan Demak yang diancam oleh adipatinya dan pemimpin Wali Songo. Mendengar bujukan ejen Portugis ini, Sunan Prawoto menangguhkan rancangannya. Kerana permainan ejen Portugis inilah, perluasan wilayah tidak berlaku pada zaman Sunan Prawoto, dan baginda dianggap Sultan yang lemah.

Pembunuhan Sunan Prawoto dan keruntuhan Demak

Pergolakan politik di antara putera-putera keraton yang turut melibatkan para Wali Songo telah membawa kepada politik balas dendam. Sunan Kudus yang gagal mengangkat Arya Penangsang sebagai Sultan, telah membocorkan rahsia pembunuhan Raden Kikin kepada putera Raden Kikin, Arya Penangsang. Menurut Babad Jawa, ia berpunca dari kecenderungan Sunan Prawoto kepada Sunan Kalijaga, yang membuatkan Sunan Kudus iri hati. Akibatnya, Adipati Jipang itu telah mengupah Rangkud untuk membunuh Sunan Prawoto dan permaisurinya dengan keris Kiyai Bethok. Ratu Kalinyamat yang turut kehilangan suaminya, Pangeran Hadiri yang turut dibunuh oleh Arya Penangsang telah meminta bantuan iparnya, Jaka Tingkir untuk membalas dendam. Jaka Tingkir selaku Adipati Pajang cuba memberontak terhadap Arya Penangsang yang menjadi Raja Demak yang baru. Jaka Tingkir menawarkan hadiah tanah di Mentaok dan Pati kepada sesiapa yang dapat membunuh Arya Penangsang. Pemanahan, Penjawi Dan Danang Sutawijaya yang didukung oleh Juru Mrentani telah berhasil menewaskan Arya Penangsang dalam tahun 1549M juga, yang membolehkan Jaka Tingkir menjadi raja bergelar Sultan Hadiwijaya.

Putera Sunan Prawoto, Arya Pangiri kemudiannya dibesarkan oleh Ratu Kalinyamat, sedangkan Sultan Hadiwijaya (1549-1582M) telah memindahkan pusat pemerintahannya ke Pajang, yang sekali gus menamatkan Kerajaan Demak dan bermulanya sejarah Kerajaan Pajang. Arya Pangiri yang dilantik sebagai Adipati Demak telah menjadi Sultan Pajang yang kedua (1583-1586M). Dengan berdirinya Kerajaan Pajang pada 1549M, maka berakhirlah sejarah Kerajaan Demak (1478-1549M) yang sememangnya mempunyai jasa yang sangat besar terhadap perkembangan Islam di Nusantara. Konflik dalaman yang berakibat daripada perebutan takhta dan pergeseran para Wali Songo telah dimanipulasikan oleh ejen Portugis untuk menghalang kemajuan Demak. Akhirnya, dengan pembunuhan Sunan Prawoto pada 1549M, ia menjadi titik kehancuran bagi Demak. Raja-raja berikut termasuk Arya Penangsang dan Jaka Tingkir bukanlah Raja yang berdaulat di Demak, sehinggalah Jaka Tingkir mengisytiharkan penubuhan Kerajaan Pajang pada tahun yang sama, sekali gus mengesahkan bahawa riwayat Kerajaan Demak telah berakhir.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 26/8/2018

- Advertisement -