Dialog natijahkan iman, bukan rosak umat

- Advertisement -

SIRAH Baginda S.A.W merakamkan beberapa dialog Nabi bersama pemuka Quraisy, Yahudi dan Ahli Kitab. Bahkan para Anbiya kesemuanya menggunakan method ini kepada kaumnya. Ia bertujuan mengajak umat yang tenggelam di dalam kekufuran supaya menyembah Allah Taala yang Esa dan meninggalkan perbuatan jahiliah. Ada di kalangan mereka yang diberikan hidayah, dan masih ramai lagi yang terus berada di dalam kekufuran. Allah berfirman dalam Surah an-Nahl ayat 36:

- Advertisement -

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ ۚ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Di antara dialog yang menghasilkan iman ialah perbualan Baginda S.A.W bersama ‘Adi bin Hatim at-Tha’i.

Siapakah ‘Adi bin Hatim at-Tha-i?

Beliau merupakan seorang penganut Kristian aliran Rukusiah. Dikenali sebagai seorang yang amat dermawan, seorang yang dihormati di kalangan kaumnya. Pernah dikisahkan, bahawa beliau dikunjungi oleh orang ke rumahnya, lalu dengan sifatnya yang pemurah, menyembelih kudanya untuk dijamu kepada tetamu yang datang. Rupa-rupanya kedatangan tetamu tersebut bertujuan membeli kuda kepunyaannya (yang telah dijamu).

Namun begitu, ‘Adi bin Hatim amat membenci Nabi S.A.W. Apabila diketahui kedatangan bala tentera umat Islam ke perkampungannya, terus ‘Adi bergegas menuju ke Syam untuk menyelamatkan diri dan bergabung bersama Kristian di sana hingga menyebabkan ada di kalangan ahli keluarganya yang ditinggalkan lalu ditawan oleh tentera Islam.

Selepas Pembukaan Negara Islam Madinah, Qabilah at-Tha’i merupakan puak yang tidak mengikat perjanjian dengan Islam dan tidak menyerah diri kepada Islam. Lalu diutuskan bala tentera yang diketuai oleh Saidina Ali untuk menyerang. Tentera Islam berjaya mengalahkan mereka dengan mudah dan menawan ramai daripada kalangan mereka termasuklah adik perempuan ‘Adi bin Hatim. Akhirnya, adik perempuan ‘Adi dibebaskan dan disyaratkan untuk membawa ahli keluarga mereka yang dipercayai untuk bertemu dengan Nabi S.A.W. Adik perempuannya berjaya menemui ‘Adi di Syam dan meminta supaya ‘Adi bertemu Nabi S.A.W di Madinah.

Kata adiknya:

“Pergilah bertemu Muhammad, andai dia benar seorang Nabi, kau akan mendapat kelebihan daripadanya, sekiranya dia seorang Raja, nescaya kau akan mendapat kebaikan juga darinya.”

Lalu ‘Adi menuju ke Madinah dengan memakai pakaian seorang Paderi dan digantung salib di dadanya.

‘Adi bin Hatim bertemu Nabi S.A.W

Apabila Baginda S.A.W melihat ‘Adi, terus dibacakan padanya ayat berikut:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah.”

(at-Taubah: 31)

Ayat ini dibacakan kepada ‘Adi disebabkan teguran Nabi S.A.W kepadanya yang mempelajari al-Kitab tetapi diselewengkan iaitu dengan mengambil satu perempat daripada harta rampasan perang untuk kegunaannya (pemerintah) sedangkan ia dilarang oleh agamanya.

Kemudian Nabi S.A.W menyebutkan 3 perkara dijanjikan kepada ‘Adi yang akhirnya membawa kepada peng-Islaman beliau: 

i.     Nabi menjanjikan suatu hari nanti Islam akan diberikan kemenangan dan kekayaan yang melimpah ruah hingga tiada lagi yang layak menerima zakat.

ii.     Parsi (Kota Hirah) akan ditawan oleh umat Islam.

iii.     Perempuan berjalan seorang diri dari Parsi menuju ke Makkah dengan aman tanpa sebarang gangguan dan ancaman.

‘Adi bin Hatim terus memeluk Islam. Ketika zaman pemerintahan Umar al-Khattab, ‘Adi mengakui di hadapan Umar bahawa beliau telah menyaksikan dua daripada janji tersebut dan meyakini bahawa janji Nabi S.A.W yang ketiga juga akan berlaku.

Ketika peristiwa Riddah pada zaman Abu Bakar, ‘Adi juga di antara individu yang memujuk Qabilah-qabilah Arab yang murtad untuk kembali kepada Islam. Menurut satu riwayat, ‘Adi bin Hatim wafat pada tahun 97h ketika umurnya 127 tahun.

Pengajaran

●     Sewajarnya umat Islam hari ini mencontohi kaedah dialog Nabi S.A.W yang jelas menekankan mesej aqidah dan ketuhanan sebagai asas mengajak orang kepada Islam. Dalam berdialog juga mestilah Islam menjadi dominan sebagaimana Nabi S.A.W menguasai ‘Adi bin Hatim.

●     Dialog bertujuan meyakinkan orang akan kebenaran Islam, lalu dia beriman. Bukan kita yang terikut apatah lagi mengeluarkan hujah yang mengelirukan mad`u yang akhirnya merosakkan umat.

●     Dialog juga menyebutkan apa yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul secara pasti melalui al-Quran dan Sunnah, bukannya melontarkan janji-janji manis mahupun palsu untuk dilihat membawa imej yang sederhana walhal longgar dalam pelaksanaan dasar.

●     Tokoh pendebat atau dialog antara agama yang amat baik untuk dicontohi pada zaman ini antaranya Sh. Ahmad Deedat (almarhum), Dr Zakir Naik, Saudara Shah Kirit, dan saudara Firdaus Wong.

●     Akan ada yang menolak dakwah kita, ia adalah lumrah. Bukan bermakna semata-mata dakwah ditolak, kita dikira gagal dalam berdakwah, sebaliknya diteruskan dan dibaiki.

●     Ia bukan semata-mata menjadikan dialog sebagai satu budaya, bahkan pembudayaan ilmu hingga dialog itu menjadi satu kebiasaan dan salah satu daripada ruang dakwah. Ini kerana ada yang gemar membuat program dialog, walhal tidak bersedia dengan hujah.

●     Imej yang baik juga merupakan sebahagian daripada daya tarikan. Ia bukan setakat pakaian yang kemas, bahkan penampilan yang merendah diri, menghormati orang lain dan berbicara dengan baik. Itu juga yang membekas di hati ‘Adi bin Hatim tatkala bersama Nabi S.A.W. ‘Adi menyebutkan:

“Ketika aku menuju ke rumahnya (rumah Nabi), terserempak dengan seorang perempuan tua, lalu Baginda berhenti dan berbicara dengannya untuk menunaikan hajat perempuan tersebut, lalu aku menyebut pada diriku sendiri, demi Allah, ini bukan seorang Raja.”

Rujukan 

●     Feqh Sirah Dr Ramadhan al-Buthi

●     Kuliah Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang sekitar kisah ‘Adi bin Hatim

●     Kisah Islam ‘Adi bin Hatim Dr Raghib as-Sarjani

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
26 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 26/8/2018

- Advertisement -