Misi Korban usaha satukan umat Islam Vietnam

- Advertisement -

PHAN RANG, Vietnam: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS Pusat (PASRelief) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah melaksanakan ibadah korban untuk umat Islam di wilayah ini semalam.

- Advertisement -

Delegasi PASRelief itu diketuai, Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam bersama enam anggota lain, termasuk dari kumpulan Facebook Titian Kasih.

Menurut Ustaz Tarmizi, misi ini dilakukan kerana umat Islam yang merupakan minoriti di Vietnam hidup dalam keramaian rakyat beragama Buddha di mana mereka jarang diziarahi masyarakat Islam dari negara lain.

Tambah beliau, ini dirumitkan lagi dengan wujudnya dua kumpulan Islam di sana iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Cham Bani yang masing-masing menguasai empat dan tujuh masjid.

Jelas beliau, program ini juga merupakan antara inisiatif kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk mendekatkan diri dengan kumpulan Cham Bani dan seterusnya menarik mereka kembali kepada fitrah Islam yang sebenar.

Sebanyak 10 lembu dan 50 kambing telah disumbangkan untuk dikorbankan dan dagingnya diagihkan kepada penduduk Islam di sini yang kebanyakan mereka adalah petani dan penternak miskin.

Beliau juga dalam pada itu, menyeru orang ramai untuk terus memberi sumbangan kepada PASRelief demi menjalankan misi membantu saudara se-Islam di serata tempat di dunia ini.

Sumbangan boleh dilakukan untuk Tabung Kemanusiaan PASRelief di akaun Maybank 5640 7061 2333 atau menghubungi Pengarahnya, Muhammad Sanusi Md Nor di talian 012-596 9220. – HARAKAHDAILY 24/8/2018

- Advertisement -