Kesultanan Demak luaskan dakwah Islamiyah

- Advertisement -

PERKEMBANGAN mendadak Islam di kawasan Kepulauan Nusantara pada abad ke-16M sangat dipengaruhi oleh peranan Kerajaan Demak dan Majlis Dakwah Wali Songo yang berpusat di Jawa. Sebelum kebangkitan Demak, penyebaran dakwah Islam telah dimainkan oleh Perlak dan Samudera-Pasai, tetapi ia belum mampu melebar hingga ke Pulau-pulau Nusantara. Kemudian, dengan pengaruh politik Melaka yang bergabung dengan peranan Samudera-Pasai sebagai pusat keilmuan Islam, dakwah mula melebar ke Campa, Borneo dan Jawa. Kebangkitan Wali Songo memang berkait langsung dengan peranan kedua-dua kerajaan tersebut. Tetapi dengan bangkitnya Demak pada 1478M, gerakan dakwah Wali Songo telah diperkasa dengan dukungan Kerajaan Islam, sekali gus berupaya menghadapi tinggalan Kerajaan Hindu Majapahit dan Singhasari sebelumnya. Ternyata peranan kerajaan dalam mengembangankan dakwah Islam sangat dominan seperti yang berlaku di Asia Barat, Asia Tengah, Afrika Utara dan lain-lain, termasuk Melaka.

- Advertisement -

Kerajaan Demak dalam rangka melebarkan dakwah Islamiyah di Jawa secara khusus, dan Nusantara umumnya, telah mengambil langkah penting dengan melahirkan kader-kader dakwah yang digerakkan oleh para Wali Songo, kemudian kader-kader dakwah ini bertebaran ke seluruh Pulau Nusantara, termasuk Jawa untuk mengembangkan Islam. Generasi awal Wali Songo bukan berasal dari Jawa, tetapi berjaya melahirkan sejumlah wali dan ulamak tempatan, sebelum generasi pendakwah berikutnya dilahirkan dalam bilangan yang lebih besar. Selain Pulau Jawa, wilayah-wilayah seperti Palembang di Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan Nusa Tenggara telah menerima pengaruh Islam secara besar-besaran dari Jawa pada abad ke-16M. Salah satu elemen yang penting dalam dakwah di Jawa, yang belum berlaku secara jelas sebelumnya ialah jihad fi sabilillah. Siri-siri gerakan jihad yang dilancarkan oleh Kerajaan Demak telah berhasil meng-Islamkan seluruh Pulau Jawa, sebelum peranan ini diambil alih oleh Pajang dan Mataram berikutnya.

Pendidikan: Strategi perkaderan dakwah di Jawa

Semenjak kehadiran Maulana Malik Ibrahim ke Jawa pada 1392M, beliau mengambil langkah yang penting dengan menubuhkan pusat pengajian terawal di Jawa, iaitu di Grisik dan mendirikan masjid pertama di Pasucian, Manyar. Beliau disebut oleh sesetengah pengkaji sebagai Bapa Pesantren di Jawa. Selepas kematiannya, Raden Rahmat atau Sunan Ampel telah mendirikan pesantren yang lebih terkenal di Ampeldenta sehingga berjaya melahirkan ulamak terkenal seperti Sunan Bonang, Sunan Derajat, Sunan Giri, Raden Patah (Sunan Kota), Sunan Kalijaga dan Sunan Gunung Jati. Setiap orang dari mereka kemudiannya membuka pesantren di tempat masing-masing. Para wali ini telah membuka pusat-pusat pengajian seperti Raden Paku atau Sunan Giri di Giri, Sunan Bonang (Tuban), Sunan Kalijaga (Kadilangu), Sunan Kudus (Kudus), Sunan Derajat (Tuban), Sunan Muria (Muria), Sunan Gunung Jati (Ceribon), Sunan Ngudung (Ngudung, Jipang), Sunan Grisik (Grisik), Sunan Wilis (Ceribon), Sunan Manyuran (Mandalika), Raden Patah (Demak Bintoro), Sunan Bangkalan (Madura), Sunan Tembayat (Klaten), Sunan Geseng (Lowanu) dan lain-lain.

Sekadar menyebut beberapa nama dan tempat pengajian (pesantren) mereka, yang menggambarkan betapa aktifnya para ulamak melahirkan kader dakwah untuk meluaskan pengaruh Islam. Pesantren Giri misalnya, telah melahirkan para pendakwah dari luar Pulau Jawa seperti dari Ternate, Maluku, Madura, Lombok, Makasar, Hitu dan Kalimantan. Pemimpin Ternate yang berguru di Giri, kemudiannya menyebarkan Islam ke Ambon, Tidore, Gilolo dan Halmahera. Murid-murid Sunan Bonang pula ramai datang dari Kalimantan, Sumbawa, Sulawesi, Ambon, Ternate, Sumatera dan Jawa. Raden Patah yang membuka pesantren di Glagahwangi di Demak juga telah melahirkan kader-kader yang menjadi pendukungnya ketika kerajaan hendak dibangunkan pada 1478M, yang sekali gus memacu perkembangan dakwah di Jawa. Dengan tiga contoh ini sahaja, kita dapat melihat bagaimana peranan pesantren-pesantren dalam membina kader dakwah yang menyebabkan berdirinya lebih bantak pesantren baru di Jawa, sedangkan di kalangan mereka juga bergerak dan bertebaran menyebarkan Islam di seluruh Nusantara.

Dakwah merentas Nusantara: Membendung Kristianisasi

Seperti yang telah disebutkan, Demak telah memainkan peranan utama pada abad ke-16M dalam mengembangkan Islam di Nusantara. Di kalangan Wali Songo sendiri seperti Sunan Giri diketahui telah berdakwah hingga ke Kalimantan, sedangkan anaknya, Sunan Prapen telah berdakwah di Lombok, Sumbawa dan Bima. Salah seorang murid Sunan Giri yang terkenal ialah Datuk Ri Badang (Sheikh Abdul Qadir Tunggal) dari Minangkabau telah bergerak ke Makasar bersama Datuk Sulaiman dan Datuk Ri Tiro sehingga dapat meng-Islamkan Selatan Sulawesi itu. Sunan Gunung Jati pula mempunyai peranan besar dalam meng-Islamkan Wilayah Sunda di Barat Jawa seperti Cirebon, Banten, Sunda Kelapa (Jakarta) dan Pakuan (Bogor), sebelum beliau berdakwah di Nanking, China. Sedangkan muridnya yang menjadi Adipati Palembang selepas Arya Damar telah mengembangkan Islam di Selatan Sumatera. Melalui kegiatan dakwah para wali dan kader-kader mereka ini, Islam mencapai pertumbuhan pesat pada abad ke-16M sehingga dapat mengatasi gerakan Kristianisasi yang dilancarkan oleh Portugis dan Sepanyol, tidak seperti yang berlaku di Pulau Luzon dan Kepulauan Visaya (Filipina hari ini) yang jatuh ke tangan Kristian. Jika gerakan dakwah ini tidak dilakukan oleh Demak, nescaya Kepulauan Nusantara akan menjadi Wilayah Kristian seperti Timor Timur (Timor Leste) dan Kepulauan Pasifik seperti Fiji, Guam, Samoa, New Zealand, Australia dan lain-lain yang di-Kristiankan.

Secara umum, peranan ulamak dari Jawa, khususnya Kerajaan Demak telah berjaya meng-Islamkan Palembang, Bengkalis, Bangkahulu dan Lampung di Sumatera, Kutai, Banjarmasin dan Lembah Kapuas di Kalimantan, Makasar, Bone dan Gowa di Sulawesi, seluruh kepulauan Maluku termasuk Ambon, Ternete, Hitu, Madura, serta Kepulauan Nusa Tenggara termasuk Lombok, Sumbawa dan Bima. Satu-satunya pulau yang gagal di-Islamkan ialah Pulau Bali, di mana ketika Sunan Prapen cuba menyebarkan Islam di sana, beliau disekat oleh pemimpin Bali, Dewa Agung iaitu raja Gelgel. Kemudian Sultan Trenggono cuba menguasai Timur Jawa dengan membuka Blambangan, tetapi berakhir dengan kesyahidannya pada 1546M. Pada abad ke-17M, kerajaan-kerajaan terpaksa berhadapan pula dengan kehadiran Belanda sehingga melupakan hasrat menguasai Bali. Atas sebab itu, Bali menjadi satu-satu Wilayah Hindu yang masih kekal di Nusantara sekarang. Sedangkan semua pulau lain telah berjaya di-Islamkan, dan ketika kehadiran penjajah Portugis, Sepanyol dan Belanda, mereka bukan hanya mempertahankan diri dari penaklukan kuasa Kristian, tetapi telah berjaya mempertahankan pulau-pulau tersebut daripada menjadi Wilayah Kristian. Bahkan Belanda melalui teori Receptio mengakui bahawa Undang-undang Syariat adalah undang-undang asal di semua kepulauan ini.

Jihad fi sabilillah: Jawaban terhadap dakwah yang tersekat

Dalam mengembangkan dakwah di Pulau Jawa, Kerajaan Demak telah mengambil pendekatan jihad fi sabilillah, terutama apabila Wilayah-wilayah Hindu menyekat gerakan dakwah. Dalam sejarah Nusantara, tidak banyak dicatatkan tentang jihad fi sabilillah dalam mengembangkan dakwah, kecuali Kerajaan Perlak melancarkan jihad terhadap Kerajaan Hindu di Utara Sumatera pada abad ke-13M. Adapun sebahagian besar jihad fi sabilillah di Nusantara adalah untuk menghalang penjajahan Barat, bukannya kerana menyebarkan Islam. Dakwah di Nusantara lebih terkenal kerana pendekatan tanpa kekerasan. Bahkan, di Pulau Jawa, dakwah yang dilancarkan oleh para Wali Songo terkenal dengan uslub yang pelbagai dan berkesan. Dalam banyak catatan pengkaji, termasuk Naili Anafah yang mengatakan bahawa para Wali Songo dan Raden Patah telah sepakat supaya Islam disebarkan tanpa menggunakan kekerasan di Jawa bagi mendirikan Kerajaan Demak. Namun ternyata, pendekatan berlembut oleh para ulamak telah mengundang tindak balas negatif pemerintah Hindu seperti yang dihadapi oleh Maulana Ishak di Blambangan, sehingga mendorong gerakan jihad fi sabilillah untuk menghadapi sekatan terhadap dakwah.

Dari segi hukum, Islam mengharamkan dakwah secara paksaan dan kekerasan, tetapi Islam mengizinkan perang jihad jika terdapat pemerintah yang menghalang dakwah daripada dikembangkan. Di Jawa, sejak kebangkitan Demak, terdapat beberapa wilayah bekas Majapahit telah menyerah diri dan bernaung di bawah Demak, tetapi dua kuasa politik Hindu iaitu Padjajaran dan Blambangan bertindak menentang gerakan dakwah Islam. Raden Patah dan Sultan Trenggono adalah antara Sultan Demak yang terkenal kerana melancarkan jihad fi sabilillah ke atas Kerajaan-kerajaan Hindu tersebut, termasuk saki baki Majapahit di Daha. Pada zaman Raden Patah, gerakan jihad fi sabilillah yang terkenal ialah serangan ke atas Majapahit di Daha pimpinan oleh Pati Unus yang berjaya melemahkan Kerajaan Hindu itu pada 1517M. Satu contoh gerakan jihad fi sabilillah berkesan di Jawa ialah serangan Sultan Trenggono ke atas Cirebon dan Banten, iaitu Wilayah-wilayah Padjajaran pada 1526M yang bukan sahaja dapat membuka wilayah tersebut, tetapi kedua-duanya bertukar menjadi kubu Islam yang terkenal pada abad berikutnya.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 23/8/2018

- Advertisement -