Silaturrahim atau sikap politik?

- Advertisement -

MANAKAH yang lebih utama, mempertahankan silaturrahim atau sikap politik? Secara peribadi, mempertahankan hubungan keluarga atau silaturrahim adalah lebih utama daripada mempertahankan sikap tentang politik. Bahkan, jika berbeza pegangan akidah sekalipun, hubungan kekeluargaan dan silaturrahim tetap perlu diteruskan dan dipelihara. Inilah adab dan akhlak ajaran Islam yang mulia.

- Advertisement -

Jangan pula kita sesama keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga jadi porak peranda kerana sikap (pendirian) politik yang berbeza. Politik jadi jijik, ekonomi jadi menindas, silaturrahim jadi hancur, kerana tiada adab dan akhlak.

Keutuhan negara bergantung kepada keutuhan masyarakatnya. Keutuhan masyarakat pula terletak kepada keutuhan keluarga. Keutuhan keluarga pula dibina dengan kasih, adab dan hormat. Kasih, adab dan hormat ini tanda kematangan. Sesuatu yang matang, natijahnya kesejahteraan.

Apa ertinya sesebuah pemerintahan yang dimegah dengan kemajuan dan kekayaan, sedangkan keluarganya tiada kesatuan, masyarakatnya tiada kesejahteraan, politiknya tiada kematangan?

PRU dah selesai. Kerajaan dah terbentuk. Yang jadi pemerintah, tunaikan tanggungjawab sebagai pemerintah. Kuasa memerintah bukan untuk kemuliaan, tapi untuk pertanggungjawaban. Yang jadi rakyat, tunaikan tugas sebagai rakyat. Pemerintah ada akhlak yang perlu dicontohi, rakyat juga ada akhlak yang perlu dipatuhi. Akhlak yang utama ialah memelihara silaturrahim. Sejauh mana pun kita berbeda, adab dan akhlak akan menyatukan kita. Itulah tujuan utama Nabi S.A.W dibangkitkan.

Hilang pengikut sesebuah parti, pengikut boleh dicari. Namun, putus hubungan silaturrahim, ia akan hilang dan tak dapat diganti.

“Budaya Politik Matang Sejahtera”

AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang

21 Ogos 2018 | 9 Dzulhijjah 1439H – HARAKAHDAILY 21/8/2018

- Advertisement -