Desak MPPK gugurkan aktivis G25

- Advertisement -

BARU-baru ini pada 1 Ogos 2018, Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr Mazlee Malek telah mengesahkan pelantikan seramai tujuh orang untuk menganggotai Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) termasuk seorang aktivis G25, Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang difahami berfahaman pro-Islam Liberal dan Sekular bagi sesi 2018-2020.

- Advertisement -

Pendidik ingin melahirkan kebimbangan dengan pelantikan ini kerana akan membuka ruang kepada golongan Liberal menerapkan idea dan kecenderungan ini dalam dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan di Malaysia.

Datin Noor Azimah sebelum ini pernah mengeluarkan pandangan kontroversi mempersoalkan tindakan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan yang menguatkuasakan peraturan bagi pelajar-pelajar Islam agar berdisiplin dan diwajibkan menunaikan solat sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Ini sebagai suatu langkah dan alternatif agar pihak dapat membentuk sahsiah pelajar mematuhi ajaran Islam dan menjadi pelajar yang memiliki jati diri unggul dalam menghadapi gejala sosial yang kian meruncing mutakhir ini.

Namun agak menyedihkan usaha pihak sekolah membentuk sahsiah dan disiplin pelajar agar menunaikan solat pun beliau halang, dan tidak mustahil Datin Noor Azimah juga boleh mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia melarang pihak sekolah menganjurkan program-program bersifat pemantapan sahsiah, jati diri dan kerohanian dalam mematuhi pembinaan kerohaniaan di samping memupuk pelajar agar mematuhi perintah Tuhan dalam kehidupan beragama.

Kita sedia maklum bahawa Datin Noor Azimah Abdul Rahim, juga merupakan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), juga anggota pergerakan G25 melibatkan 25 orang (ketika penubuhannya) yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Muslim Moderate’ sering membuat kenyataan tentang beberapa perkara berkaitan Sistem Perundangan Malaysia, kedudukan institusi agama Islam, pentafsiran hukum fiqh selari dengan fahaman Islam Liberalis dan Sekular.

Kita sedar bahawa bahawa fahaman Liberisme ada persamaan dengan fahaman Pluralisme, Feminisme, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, LGBT, Kristianisasi serta Evangelis yang ingin bertujuan merosakkan pegangan umat Islam kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Pergerakan ini dibimbangi boleh mengancam keharmonian dan kestabilan dalam negara pada masa akan datang .

Pendidik juga ingin melahirkan kebimbangan kebarangkalian adanya unsur-unsur dan penerapan nilai-nilai fahaman Islam Liberal yang jelas bertentangan dengan Syariat Islam bakal merosakkan minda anak-anak yang diharapkan untuk mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Justeru, Pendidik menyeru para ibu bapa, PIBG, Kesatuan Guru, NGO-NGO Pendidikan Islam dan aktivis pendidikan agar perlu segera bangkit menyatakan bantahan berhubung pelantikan ini dalam pasukan Penasihat Pendidikan Kebangsaan.

Selain itu juga, Datin Noor Azimah juga terlibat program DLP (Dual Language Program) yang dibantah banyak pihak kerana bercanggah dalam Akta Pendidikan Kebangsaan dan Akta 152 dalam pendidikan negara

Justeru, Pendidik dengan ini mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia supaya menggugurkan pelantikan Datin Noor Azimah dalam Pasukan Penasihat Pendidikan Kebangsaan seberapa segera sebelum terlambat.

Salam hormat:
NORMALA SUDIRMAN
Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan(Pendidik).

19 Ogos 2018 / 7 Zulhijjah 1459H – HARAKAHDAILY 19/8/2018

- Advertisement -