Liberalisasi agama dan normalisasi dosa

nasrudin3
- Advertisement -

GERAKAN liberalisasi agama dan normalisasi dosa sememangnya aktif dalam negara kita sejak lama dulu. Cuma akhir-akhir ini mereka dilihat lebih berani. Tidak lagi sembunyi di sebalik aktiviti pertubuhan awam atau buku dan artikel yang ditulis dengan nama pena.

- Advertisement -

Satu contoh yang ingin saya utarakan kali ini ialah zahirnya golongan yang tiada lagi rasa malu untuk menyongsang budaya dan adat susila. Apatah lagi untuk rasa berdosa merealisasi gaya hidup yang bercanggah dengan syariat Islam.

Mereka bukan sahaja nekad tampil ke muka masyarakat di atas nama “menuntut hak persamaan” tetapi bangga memperagakan life style yang bertentangan dengan fitrah dan sunnah.

Sedikit sebanyak “perjuangan” mereka mula diperkata oleh ramai pihak dan tidak kurang mereka yang menyokong, bersolidariti dan bersimpati. Malah pihak pemerintah juga dilihat tersangat lunak terhadap mereka berbanding sikap pemerintah itu terhadap pihak yang menasihati dan menegur mereka.

Lebih nekad, mereka dakwa bahawa iman mereka teguh. Malah mengaitkan bahawa Islam membenarkan perlakuan homoseksual dan gaya hidup mereka adalah hasil dari fitrah ciptaan Allah yang dipatuhi oleh mereka secara taat.

Sebahagian mereka tahu bahawa tindakan mereka salah dan bertentangan dengan agama. Tapi segalanya menjadi normal. Tiada lagi rasa sesal dan berdosa. Sukar bagi mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Justeru bukan mereka tidak tahu arah tetapi memang mereka tidak mahu pulang.

Bahasa mudah yang boleh saya guna ialah kerana mereka telah menikmati gaya hidup “ciptaan” mereka sendiri. Mereka tenggelam dalam keseronokan dan hanyut di alam fantasi hasil karya dan khayalan mereka sendiri.

Kini timbul pertentangan sengit antara pihak yang mahu berdakwah melalui cara mendekati dan menyelamatkan mereka dengan pihak mereka sendiri yang “berjuang” mati-matian agar mereka diiktiraf dan ‘dilegalisekan’ di sisi undang-undang negara.

Ertinya, sebahagian mereka bukan lagi keliru tentang jati diri mereka, tetapi mereka memang mahu jadi begitu. Mereka tidak mahu “diselamatkan” kerena mereka rasa “lebih selamat” hidup begitu.

Pada mereka, agama bukan hitungan. Dosa pula tidak pernah menghantui perbuatan mereka. Tiada rasa malu bahkan bangga dan menyeru agar gaya hidup mereka diterima dan diiktiraf oleh masyarakat.

Namun sebahagian yang masih ada rasa bersalah dengan tuhan, rasa malu dengan masyarakat, Insya Allah masih berpeluang menemui jalan pulang sebelum terlambat.

NASRUDIN HASSAN
Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/8/2018

- Advertisement -