Mengunyah pesanan berharga Liqa’ Fikri

- Advertisement -
PAS sebagai sebuah harakatul ummah berjaya mengkaderkan ahli-ahlinya dengan pelbagai program persiapan fikrah seperti daurah, liqa fikri, rehlah, usrah ,tamrin, mukhaiyyam, ijtimak tarbawi dan sebagainya. Program amal tarbawi inilah yang mengikat ahli-ahli dan pimpinan PAS dengan kefahaman Islam dan menyimpul tali ukhuwwah. Tiada sebuah gerakan politik setegar ahli PAS tahap pengorbanan dan keseriusan menjalankan tanggungjawab dan inilah buah yang dituai daripada pelbagai program-program amal tarbawi.
 
Liqa Fikri pasca PRU 14 kali ini berlangsung di KUIZM dan mendapat sambutan hangat daripada seluruh pimpinan akar umbi daripada seluruh negara. Pengerusi Lujnah Tarbiah Pusat, Ustaz Idris Haji Ahmad telah melontarkan saranan kepada seluruh pimpinan akar umbi PAS agar melakukan dengan segera tindakan disemua peringkat. Antaranya:
 
•     Rapatkan diri dengan dengan markaz tarbiah PAS kerana di sana jiwa-jiwa pejuang sentiasa berada di sana. Menghidupkan pelbagai program yang boleh mencerna dan memaknai perjuangan, program dalaman dan luaran yang mampu menarik pelbagai segmen masyarakat.
 
•     Bersahabatlah dengan mereka yang rajin dan bersemangat. Jauhkan diri bersahabat dengan mereka yang malas,  banyak memberi pelbagai alasan, mempunyai  pemikiran negatif, banyak mencari masalah dan banyak mengkritik bukan menyelesaikan masalah. 
 
•     Pastikan anak-anak daripada kecil diterapkan dengan roh perjuangan PAS supaya mereka tidak terpengaruh dengan agenda musuh yang sentiasa mencari peluang untuk meruntuhkan PAS dan membawa balik roh perjuangan Islam ke rumah untuk dikongsi bersama dengan anggota keluarga.
 
•    Hindarkan budaya menakutkan anak supaya jangan terlibat dengan perjuangan PAS kerana bimbang tidak menjamin masa depan, kononnya nanti anak tidak akan mendapat kerja. Pemikiran ini amat merbahaya yang natijahnya akan ada anak yang lahir daripada zuriat kita menentang perjuangan yang didokong  oleh ibu bapanya. 
 
•     Kerajaan Kelantan dan Terengganu mesti menunjukkan kewibawaan yang menandingi kerajaan PH supaya mudah untuk kita menarik orang lain kepada PAS. Kedua-dua negeri ini sewajarnya menjadi model pelaksanaan Islam di Malaysia dan mempamerkan pentadbiran yang cemerlang dan piawai.
 
•     Tokoh-tokoh profesional di dalam PAS perlu ditonjolkan untuk membuktikan PAS bukan hanya parti orang kampung sahaja. Dalam jamaah PAS mempunyai ribuan profesional tahap tinggi, namun sayangnya ada yang berpenampilan tidak sebagaimana tahap persijilan mereka. Kelompok ini mesti tampil dan ditampilkan dengan serius dipelbagai peringkat dalam PAS.
 
•     Daftar keahlian PAS perlu digerakkan , pelbagai program mendaftarkan ahli perlu dilaksanakan. Ini penting bagi membina kekuatan jemaah Islam, ahli-ahli tidak akan rebah jika berlaku tsunami politik .
 
•     Menubuhkan ARC disetiap kawasan , sukan permotoran  dan aktiviti yang berkaitan dengannya mampu menarik anak-anak muda untuk bersama dengan PAS. 
 
Pelbagai arahan dan saranan oleh Pengerusi Lujnah Tarbiah Pusat dalam program Liqa Fikri untuk dihadam dan dilaksanakan. Peserta-peserta juga mencicip pembentangan kertas kerja oleh Presiden PAS yang bertajuk ” istiqomah bersama kebenaran, menjunjung janji Tuhan”. Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga meluangkan masa untuk menjawab pelbagai soalan daripada peserta-peserta Liqa Fikri.
 
( Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS Pusat)
 -HARAKAHDAILY 11/8/2018
- Advertisement -