Keputusan PRU14 unik, pemerintah tak seimbang

- Advertisement -

MARANG: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) unik disebabkan pemerintah yang tidak seimbang dengan demografi penduduk Malaysia yang majoritinya adalah Islam sebanyak 65 peratus.

- Advertisement -

Katanya, pengundi muda dan bukan Islam menjadi penentu kepada PRU14 dengan pengundi bukan Islam hampir keseluruhannya dan lebih 30 peratus pengundi muda mengundi Pakatan Harapan (PH).

Demikian kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa merasmikan Muktamar Tahuhan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu di Marang, semalam.

Justeru, Pemuda PAS menempuh cabaran yang besar dalam menangani masalah itu kerana kejahilan agama, keruntuhan akhlak, kesan serangan pemikiran penjajah dalam masyarakat.

Dengan itu, katanya kematangan dalam berpolitik merupakan faktor-faktor yang perlu diberikan perhatian.

Menurutnya lagi, peranan PAS dalam memberikan kefahaman Islam kepada rakyat merupakan suatu perkara yang penting dalam mengembalikan rakyat untuk mengenal agama.

Ujarnya lagi, anak muda pula ramai yang termasuk dalam golongan yang runtuh akhlaknya dengan hiburan yang keterlaluan.

Kata beliau, anak muda yang bukan Islam memiliki kefahaman berpolitik dengan 90 peratus pengundi bukan Islam di Kota Bharu dan Kuala Terengganu menyokong PH.

Tambahnya, orang-orang bukan Islam menggalakkan anak muda Islam yang tidak memiliki kefahaman politik untuk mendaftar mengundi supaya mengundi mereka.

Beliau juga memberikan contoh ahli PAS yang memiliki semangat ‘berapi-api’ namun tidak menyedari anak mereka sendiri tidak mendaftar sebagai pengundi.

Tambahnya, kebanyakan rakyat tidak menyedari bahawa kefahaman penjajah yang menganggap agama suku politik suku.

Beliau yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia menjelaskan ulama-ulama terdahulu telah pun menulis berkaitan fiqh siyasah iaitu fiqah politik yang antaranya adalah berkaitan fiqah muwazanat iaitu pertimbangan dalam berpolitik.

Menurutnya disebutkan ketika turunnya Surah Al-Rum, Nabi SAW dan para sahabat bersedih atas kekalahan Rom kepada Parsi dalam peperangan.

“Di sini memperlihatkan pertimbangan dalam dalam berpolitik iaitu, melihat musuh mana yang lebih besar di antara Rom yang merupakan agama kitab dengan Parsi beragama Majusi yang menyembah api,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau turut menyentuh berkaitan Perjanjian Hudaibiyah yang mana merupakan perjanjian yang berat sebelah yang diterima Nabi SAW dengan kefahaman fiqh muwazanat yang memperlihatkan perjanjian itu mengiktiraf Negara Islam Madinah oleh pemimpin musyrikin. – HARAKAHDAILY 11/8/2018