T’ganu sasar 15,000 ahli baharu hujung 2018

- Advertisement -
KEMAMAN: Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mensasarkan 15,000 keahlian baharu bermula semalam hingga akhir tahun 2018, bagi seluruh negeri itu.
 
Angka tersebut tidak mustahil untuk dicapai kerana daripada bacaan selepas PRU dahulu, banyak undi yang diterima PAS mengatasi jumlah keahlian di semua Dun dan Parlimen dimenangi PAS.
 
Di Kemaman contohnya, terdapat seramai lebih 100,000 pengundi berdaftar yang mengundi PRU lepas, sedangkan PAS hanya mempunyai 12,000 ahli di kawasan itu, serta berjaya menguasai tiga Dun dan Parlimen.
 
Sasaran ini dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Terengganu, Mohd Alghazali Abu Bakar ketika memberikan ucapan dalam program Taklimat Isu Semasa dan Pemerkasaan Parti, di sini semalam.
 
“15,0000 ahli baharu adalah tidak mustahil bagi kita mencapainya. Contohnya Kemasik, dapat lebih 9,000 undi sedangkan ahlinya hanya kurang daripada 4,000.
 
“Begitu juga dengan Air Putih, bukan Dun sasaran menang ketika PRU dahulu, yang ada 14 Unit Peti Undi (UPU), PAS menang empat sahaja tetapi mendapat jumlah undi melebihi 10 UPU yang lain.
 
“Jadi siapa yang undi kita? Di mana mereka? Inilah tugas kita untuk mencari dan mengajak mereka bersama-sama menjadi ahli PAS,” katanya di hadapan kira-kira 450 ahli PAS yang terdiri daripada pucuk pimpinan Cawangan dan sayap-sayap parti Kawasan Kemaman.
 
Jelas beliau lagi, tindakan ini adalah sebagai satu pengalaman daripada kelemahan ketika PAS memerintah pada tahun 1999-2004 dahulu kerana agak kurang menumpukan kepada kerja-kerja parti.
 
Oleh itu, BPPNT akan memastikan kedua-dua Kerajaan Negeri dan parti kali ini dibahagikan pentadbirannya dan akan diuruskan secara menyeluruh bagi mengimbangi kuasa kedua-duanya.
 
Bagi merealisasikan cita-cita itu, BPPNT akan mengadakan pertandingan antara kawasan-kawasan PAS yang paling banyak mencari ahli-ahli baharu serta menyediakan hadiah kepada pemenang.
 
“Kita akan menyediakan hadiah sebanyak RM5,000 bagi kawasan yang berjaya mencari ahli teramai. Kita yakin setiap kawasan boleh mencari ahli baharu lebih 2,000, dan setiap kawasan yang berjaya melepasi jumlah ini, akan diberikan saguhati sebanyak RM1.000 setiap kawasan,” terang beliau lagi.
 
Ujar beliau lagi, apabila ahli bertambah di sesebuah kampung, maka Cawangan-cawangan baharu juga akan dapat dibuka kerana bagi permulaan menubuhkan, syarat menyatakan perlu sekurang-kurangnya 25 ahli untuk menjadi jawatankuasa penaja.
 
Program taklimat yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Kemaman itu, diadakan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman.
 
Taklimat disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu.
 
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kemaman, merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid, Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, Adun Air Putih, Ab. Razak Ibrahim dan Penyelaras Dun Kijal, Ustaz Hazri Jusoh. -HARAKAHDAILY 10/8/2018
 
- Advertisement -