Kerjasama IRI: Negara di era penjajahan moden

riduan1
- Advertisement -

KEJATUHAN sesebuah kerajaan dalam sejarahnya, tetap terselit idiom pengkhianatan dan pengkhianat. Jatuhnya kerajaan Melaka dengan watak kitul yang licik, jatuhnya kerajaan Uthmaniah Turki apabila kuasa Pax Britanica menaja gerakan Young Turk. Di era moden ini menyaksikan kuasa unipolar, Amerika Syarikat banyak campur tangan dipelbagai buah negara sejak era perang dingin.

- Advertisement -

Dakwaan Presiden The International Republican Institute (IRI), Daniel Twinning yang mengetuai sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Washington bahawa IRI bekerjasama dengan pemimpin Pakatan Harapan sejak 2002 dan Washington mendapat manfaat daripada kerjasama itu adalah suatu pendedahan yang serius. Pendedahan Twinning itu menandakan ada parti politik dan pemimpin dalam negara ini telah melakukan pengkhianatan terhadap kedaulatan negara sehingga sanggup diperalat demi kepentingan negara AS.

IRI adalah sebuah badan pemikir dikaitkan dengan tokoh kanan parti Republikan seperti John McCain dan bekas pegawai tinggi perisikan Amerika Syarikat (AS). IRI boleh dianggap agensi intelijen dan alat perisikan AS bagi kepentingan strategik AS. Buktinya penglibatan tokoh perisikan dan pemimpin AS di dalam IRI. Mereka bertugas melatih, merekrut, memberi bimbingan dan bekerjasama dengan mana-mana tokoh atau parti politik bagi memastikan kepentingan AS di sesebuah negara termasuk Malaysia. Bekerjasama dengan mereka dianggap menghulur leher dan tengkuk untuk disembelih, kerana ganjaran daripada latihan itu adalah mereka dapat mengatur segala urusan dalaman negara.

Sememangnya dakwaan IRI itu adalah suatu perkara besar dan memerlukan kepada pembuktian dan siasatan menyeluruh. Kerajaan PH tidak boleh mendiamkan diri dan mengelak polemik ini dipanjangkan, melainkan perlu membuat pengakuan jujur terhadap dakwaan tersebut. Menurut pemimpin DAP Tony Pua, semua parti politik di Malaysia, tidak kira parti pemerintah atau pembangkang pernah menyertai latihan anjuran Institut Republikan Antarabangsa (IRI). Beliau beranggapan, Umno, Gerakan, MCA atau DAP pernah mendapat latihan daripada IRI.

Jika dakwaan itu benar, negara ini berada di ambang bahaya. Keselamatan negara telah bocor dan urusan politik serta pentadbiran negara telah diganggu gugat dan dicatur oleh kuasa besar dunia itu. Selama berbelas tahun parti politik terbabit mendapat khidmat daripada latihan IRI dan sejak itu entah berapa banyak maklumat penting negara  telah keluar dan disalurkan kepada badan tersebut. Jika surat yang dihantar oleh bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) dianggap suatu pengkhianatan oleh kerajaan PH, ironisnya, bekerjasama dengan badan kajian yang terlibat dalam perisikan juga boleh dianggap sebagai suatu pengkhianatan besar kepada negara.

Penjajahan negara di era moden bukan semestinya dengan penaklukan sebuah negara ke atas negara lain, tetapi penaklukan dilakukan dengan cara menanam doktrin, pemikiran, nasihat, perundingan, latihan dan bimbingan. Negara dianggap terjajah apabila ada pemimpin sanggup berkiblatkan negara lain, mengambil pandangan dan kaedah orang lain serta meminta nasihat dalam percaturan politik dan dalaman negara. Apa yang dibimbangkan, soal jatuh bangun pemimpin negara serta menaikkan pemimpin tertentu juga diatur oleh agensi terbabit.

Mengapa kita tidak belajar daripada pergolakan banyak negara dunia akibat campur tangan badan- badan strategik afiliasi Amerika Syarikat seperti apa yang pernah berlaku kepada negara Sudan, di mana negara “polis antarabangsa” itu menaja pemberontakan yang dipimpin oleh John Garang. Begitu juga konflik di rantau Asia Barat yang tidak pernah reda akibat campur tangan Amerika untuk menaik dan menjatuhkan pemimpin negara.

Malanglah sebuah negara yang telah tergadai maruah atau terjual dengan mudah kepada negara lain. Sikap obses untuk berkuasa dengan sanggup melakukan apa sahaja untuk menang adalah perbuatan terkutuk. Malulah kepada rakyat yang sanggup bermati-matian demi semangat cinta dan patriotik terhadap negara berbanding kelompok elit politik yang hanya bersikap talam dua muka, melaungkan slogan patriotik di luar tetapi di dalam diri mereka sanggup menjual kedaulatan negara. – HARAKAHDAILY 10/8/2018

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -