Jual hasil pertanian bantu penduduk Sik

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman telah mencetuskan ilham dan melaksanakan program Jualan Amal Tabung Kebajikan Penduduk Sik.
 
Ianya adalah satu inisiatif yang bertujuan mendapatkan dana sebagai usaha membantu para asnaf, fakir dan yatim di parlimen itu menerusi pemasaran hasil pertanian penduduk.
 
Ustaz Tarmizi sendiri membuat jualan langsung dari atas lori dan turun ke lokasi jualan yang diadakannya tapak pasar pagi di Bangi, Gombak dan Puchong sepanjang minggu ini.
 
Dibantu kakitangannya dari Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Sik, usaha itu juga dilakukan beliau disebalik kesibukan menyertai Sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.
 
Menurut beliau, jualan tersebut mendapat reaksi sangat baik daripada para pengunjung pasar dan berpuas hati serta bersyukur dapat turut sama membantu golongan memerlukan.
 
“Para petani di Sik pula melahirkan kegembiraan dan kesyukuran kerana hasil buah mereka dapat dipasarkan dan hasil jualan buah dapat digunakan untuk menampung sedikit sebanyak kos sara hidup yang tinggi sekarang walaupun menetap di kampung.
 
“InsyaAllah program ini akan diadakan secara berterusan melibatkan lain-lain tempat dan tidak terhad hanya di Lembah Klang. Bagi pihak saya, kami merasa berbesar hati dengan sambutan menggalakkan orang ramai. Teruskan sokongan kepada usaha ini,” ujarnya turut memaklumkan hingga kelmarin telah menjual lebih 5 tan buah-buahan. -HARAKAHDAILY 10/8/2018
 
 
 
 
- Advertisement -