SST 2.0 akan ulangi kelemahan lama

nasrudin3
- Advertisement -

ASASNYA, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meletakkan premis tidak bersetuju dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diamalkan oleh Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Kedua-dua jenis cukai kepenggunaan tidak menepati prinsip percukaian yang membebankan rakyat umum sebagai pengguna akhir sesuatu barang atau perkhidmatan. Campur tangan kerajaan dalam setiap urusniaga antara penjual dan pembeli melalui cukai akan meningkatkan harga dan seterusnya membebankan hidup rakyat.

Pengenalan semula SST dijangka akan mengulangi semula kelemahan dalam keberkesanan rejim percukaian di Malaysia.

– Kelemahan pertama yang akan berlaku adalah percukaian berganda yang akhirnya akan ditanggung oleh pengguna seperti kenaan berganda cukai jualan dan cukai perkhidmatan sekali gus.

– Kelemahan kedua ialah ketidaktelusan yang boleh dimanipulasi di peringkat pengilang kemudian akan dibebankan kepada rakyat.

– Kelemahan ketiga, SST 2.0 yang dikenakan kepada barang dan perkhidmatan bercukai dilihat lebih mahal berbanding GST.

Tindakan memperkenalkan semula SST 2.0 tidak akan menyelesaikan isu asas yang membelenggu rakyat. Selagimana kerajaan mengambil tindakan campur tangan dalam pasaran melalui cukai, maka rakyat terus akan terbeban.

Hal ini tidak menjadikan Pakatan Harapan berbeza dengan pemerintahan sebelumnya. Hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan daripada SST dianggarkan sekitar RM4 bilion sahaja.

Secara tidak langsung, jika tidak ada kehendak politik untuk menghapuskan pembaziran, rasuah dan menyusun prioriti perbelanjaan, tidak mustahil kerajaan akan membebankan rakyat dengan mekanisme lain seperti kenaikan cukai pendapatan dan korporat ataupun kenaikan cukai tidak langsung seperti cukai eksais dan duti import.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
25 Zulkaedah 1439 | 7 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 7/8/2018

- Advertisement -