‘Pak Sanggup’ penjajah

- Advertisement -

TIDAK susah bagi penjajah menghulur bantuan dana dan sokongan strategi kepada semua kelompok dalam sesebuah negara yang mahu mereka kuasai. Sampai satu masa, faksi-faksi proksi yang telah dikenyangkan akan ditembungkan antara satu sama lain. Akhirnya mereka ditimpa celaka. Itulah yang kita fahami dari sejarah umat.

- Advertisement -

Contoh sejarah

Di ambang kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, Kumpulan Turki Muda serta pegawai-pegawai Uthmaniyyah telah sekian lama ditaja oleh British untuk mewujudkan gelombang penentangan terhadap Khilafah. Idealisme Liberal dan penentangan terhadap isu-isu salah laku Uthmaniyyah dibakar secukup-cukupnya. Setelah mereka menguasai organ pentadbiran Khilafah, Sultan dijatuhkan maka naiklah Mustafa Kamal Attaturk mengubah lanskap zaman umat Islam.

Sejarah yang lebih sadis, Syarif Hussein dibantu oleh British demi menggerakkan Revolusi Agung Arab untuk berperang menentang Uthmaniyyah. Selepas Syarif Hussein berhasil menghalau Uthmaniyyah dari Wilayah-wilayah Arab, British menaja Bani Saud pula untuk berperang mengalahkan Syarif Hussein.

Di Iraq, Saddam dilobi dan disokong oleh Amerika untuk berperang menentang Iran sejurus selepas penubuhan Kerajaan Revolusi Iran. Sentimen Arab-Parsi, Sunni-Syiah dimainkan, lalu disanjung peperangan tersebut dengan jolokan Qaddisiyyah. Selepas berakhirnya perang tersebut, Saddam menyerang Kuwait. Amerika merasa terganggu lantas bertindak balas menentang Saddam. Puluhan tahun selepas itu Saddam dibunuh oleh proksi Amerika.

Ketika fasa akhir Perang Dingin, Amerika menaja segelintir Mujahidin di Afghanistan untuk berperang menentang Soviet Union. Segelintir puak Mujahidin dengan semberono menerima bantuan Amerika atas alasan dangkal ‘orang bagi kita ambil’. Puak yang menikmati bantuan Amerika itu menganggap telah berjaya mengalahkan Soviet. Sedangkan yang paling berjaya adalah Amerika yang tidak perlu mengotorkan fizikalnya berperang di dataran berbukit Afghanistan. Selepas dipergunakan, Amerika menyusun plot agar sesama Mujahidin berperang. Akhirnya mereka diserang oleh Amerika yang pada awalnya pernah membiaya gerakan bersenjata mereka.

Alas kaki penjajah

Terlalu banyak sejarah penjajah mengulang-ulang strategi yang lebih kurang sama. Demi menguasai negara yang disasarkan, mereka membiaya proksi-proksi yang sanggup menjadi petualang kepada agama dan tanah air sendiri. Mereka bukan sekadar menawarkan bantuan senjata. Bahkan dalam negara bernuansakan politik demokrasi, mereka membiayai kumpulan dan politikus dengan dana serta latihan kononnya ke arah pendemokrasian politik. Inilah bentuk penjajahan secara proksi.

Sesiapa yang kelabu mata mahu hidup senang, sudah pasti tanpa merasa bersalah sanggup menjadi selipar penjajah asalkan dapat berkuasa seperti yang diimpikan. Jangan lupakan sejarah, golongan yang asalnya menjadi proksi musuh, akan dirosakkan bahkan bertarung maut kerana menjadi mangsa sebagai bidak catur musuh. Merekalah petualang yang merosakkan sejarah umat. Ternyata doktrin ‘orang bagi kita ambil’ merupakan perangkap yang tidak ada jalan keluar.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
7 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 7/8/2018

 FB IMG 1533642914668

- Advertisement -