Royalti: MP PAS sanggah jawapan Menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan PH dilihat sengaja membawa pemahaman berbeza mengenai kadar peratus royalti yang sepatutnya dibayar kepada negeri-negeri pengeluar petroleum.

- Advertisement -

Malah, kini seakan cuba lari daripada tanggungjawab tersebut dan memungkiri janji yang dinyatakan pada Manifesto PH PRU14 untuk meningkatkan royalti sebanyak 20 peratus.

Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS – Tumpat) berkata, pihak Menteri Kewangan sebenarnya menyedari bahawa terdapat janji yang jelas antara Kerajaan Negeri dengan Petronas.

Setelah membicarakan perkara sama ketika membahas Titah Diraja minggu lalu, beliau sekali lagi mempersoalkan isu tersebut pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

“Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5 peratus dari nilai petroleum dikeluarkan.

“Menteri juga beberapa kali sebut ‘gross profit‘ (untung kasar). Bukan ‘gross profit’ pun. Nilai yang dikeluarkan daripada makna laut ataupun daripada bumi negeri Kelantan.

“Jadi sebenarnya, walaupun tidak ada dalam Akta Pembangunan Petroleum, tetapi disebut dengan jelas dan mudah dalam perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Petronas,” hujahnya dengan membaca petikan penyata perjanjian itu.

Beliau melontarkan kekesalan kerana selepas daripada itu pihak Menteri beberapa kali menyebut bahawa sebenarnya janji dibuat PH dalam Manifesto PRU14 membawa makna 20 peratus daripada keuntungan bersih.

Sedangkan pertikainya, semua pihak boleh memahami maksud 20 peratus yang terdapat dalam manifesto itu tidak sebagaimana diterjemah nyata oleh pihak Menteri.

Demikian itu beliau mempersoalkan perkara tersebut dengan menyifatkannya berupa janji manis yang dibuat tanpa kajian dan memahami keadaan sebenar dan sekadar memancing undi PRU. – HARAKAHDAILY 2/8/2018

- Advertisement -