DAP mahu tegak agenda, Melayu Islam resah

Dewan Rakyat.
- Advertisement -

KEPUTUSAN PRU14 suka tidak suka telah melakar lanskap baru politik Malaysia. Barisan Nasional yang berkuasa sekian lama di peringkat Persekutuan telah digantikan dengan kerajaan baru gabungan DAP, PKR, Bersatu dan PAN dalam satu pakatan yang dikenali Pakatan Harapan (PH). Pakatan ini turut berkuasa di tujuh buah negeri lagi di Semenanjung.

- Advertisement -

roslanPAS walaupun tewas di beberapa kerusi yang ia kuasai di Pantai Barat namun berjaya menang di 18 kerusi Parlimen dan bertahan di Kelantan serta menjatuhkan BN di Terengganu. Uniknya pakatan PH yang kuat berkuasa di peringkat Persekutuan dan tujuh buah negeri tadi langsung tidak memenangi walau satu kerusi Parlimen atau Dun pun di Kelantan dan Terengganu, negeri-negeri yang dikuasai PAS.

Lanskap baru yang dimaksudkan melihat PH berkuasa di Parlimen dengan 122 kerusi termasuk 8 dari Warisan. Selebihnya terdiri daripada Gabungan Parti Sarawak atau GPS yang pro PH, 19 kerusi. UPKO, PBS, PBRS dan STAR dari Sabah masing-masing 1 kerusi serta 5 lagi dari Bebas.

Blok pembangkang di Parlimen pula kini dikuasai BN. BN mempunyai 54 kerusi iaitu 51 mewakili Umno, 2 MIC dan 1 MCA. PAS sebagaimana yang dinyatakan punya 18.

Bagaimanakah PAS menghadapi lanskap politik yang berbeza ini?

Semasa PRU14 lalu PAS melalui Gagasan Sejahtera menghadapi PH dan BN tiga penjuru di kebanyakan kerusi yang dipertandingkan. BN ketika itu Kerajaan Persekutuan manakala DAP dan PKR baru sahaja menendang PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan menubuhkan PH bersama PBBM dan PAN untuk menghadapi BN dan PAS.

PAS hampir keseorangan menghadapi dua musuh bertaraf gergasi namun demi mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan Islam, PAS lalui juga PRU14 dengan penuh berani. Kini ribut pertembungan PRU14 telah berlalu, realitinya hari ini PH yang PAS musuhi kerana menolak dan mencabar dasar perjuangan PAS hari ini menjadi semakin gagah malah menggantikan kedudukan BN.

BN pula khususnya Umno, masih menjilat luka di seluruh badan yang ia perolehi hasil dari pertembungan PRU14 yang sengit itu. Kekuatan yang ia miliki melalui kuasa hari ini sudah tiada, dan Umno semakin lumpuh, cuma mampu menggagahkan diri kerana masih bertahan pada 54 kerusi Parlimen yang di dalam tangan, itupun belum tahu angka berkenaan dapat terus bertahan atau bakal susut satu demi satu apabila ada yang melompat parti.

Yang masih bertenaga di peringkat blok pembangkang ternyata adalah PAS. Di peringlkat negeri Kelantan dan Terengganu, kedua-dua negeri ini menyaksikan penubuhan kerajaan negeri antara yang terawal berbanding negeri-negeri lain termasuk di peringkat Persekutuan. Ini membuktikan betapa stabil dan lancarnya kemenangan PAS di kedua-dua buah negeri berkenaan.

Kerajaan Persekutuan pada hari ini buat pertama kali dalam sejarah Malaysia Merdeka bukan lagi kerajaan dominan Melayu. Daripada 122 kerusi PH termasuk Warisan, ahli parlimen bukan Islam adalah seramai 63 orang, ini bermakna kuasa politik bukan Islam begitu dominan di peringkat Persekutuan selain di kebanyakan negeri yang mereka kuasai.

Perubahan lanskap ini membuka cabaran yang besar buat kesinambungan survival politik Melayu Islam dalam negara. Ia boleh terus tidak mengganggu jika kelompok dominan ini tidak meletakkan kepentingan dalam isu Melayu Islam, akan tetapi DAP contohnya sudah pasti mahu menegakkan dasar dan prinsip perjuangannya dalam pentadbiran sekali gus akan memberi tekanan besar kepada kerajaan agar mengikut telunjuk mereka.

Belum pun genap 100 hari pentadbiran mereka di peringkat Persekutuan kita telah menyaksikan beberapa perkembangan yang mula meresahkan orang Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara hasil dari kesungguhan DAP mahu menegakkan agenda mereka.

Isu pelantikan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara selain kuota tambahan matrikulasi untuk keturunan Cina, pengiktirafan sijil UEC dan peruntukan kerajaan ke sekolah-sekolah Cina adalah sebahagian contoh-contoh yang terang. Selain itu agenda Malaysia Sekular yang didukung DAP juga banyak diyakini mempengaruhi beberapa isu berkaitan agama dan kepentingan Islam selama ini.

DAP contohnya mahu Dr Zakir Naik dihantar kembali ke India kononnya dikaitkan dengan kumpulan pengganas, mereka juga mahu menyemak semula kepentingan JAKIM dan beberapa institusi agama yang dikatakan membebankan kerajaan dari sudut perbelanjaan.

Institusi Raja-raja Melayu juga sudah mula dipertikaikan dengan kritikan lantang dari pelbagai pihak selain mengiktiraf golongan liberal dan LGBT yang songsang dan menyesatkan itu.

Atas perubahan lanskap inilah maka PAS bangkit untuk mengambil kedudukan baru. Dalam PRK Sungai Kandis yang sedang berlaku contohnya PAS bersedia mengarahkan penyokongnya mengundi calon BN, suatu tindakan yang besar dan tidak pernah dilakukan sebelum ini semata-mata kerana menyedari arus politik telah banyak berubah pasca PRU14.

Ancaman terhadap kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu perlu dipertahankan dan ini hanya mampu dilakukan kiranya blok pembangkang bersatu membawa agenda yang sama. Umno yang hilang taring itu perlu segera mendakap mesej PAS ini dan bersedia untuk membuat perubahan. Jika Umno bersedia terutama dengan agenda mendukung dan memartabatkan Islam, PAS pasti terbuka dan lebih-lebih lagi bersedia.

PAS telah mulakan dengan langkah keterbukaan awal di PRK Sungai Kandis. Umno sepatutnya menyambut inisiatif ini dengan beberapa langkah berani ke arah agenda yang sama. Usul yang dibawa ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PAS Pahang umpamanya untuk mengisytiharkan cuti mingguan di negeri berkenaan pada hari Jumaat sebagaimana negeri-negeri majoriti Melayu yang lain perlu disokong sebagai tanda awal kesediaan Umno.

Biar mesej ini sampai ke semua pihak dan umat Melayu Islam di Malaysia akan mula terubat hatinya apabila melihat di sana ada kuasa politik yang sanggup berjuang dan membela nasib mereka. – HARAKAHDAILY 2/8/2018

- Advertisement -