KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menggesa semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing mengikut posisi yang diamanahkan.
Justeru, kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar bahawa, kerajaan komited memajukan negeri ini.
Katanya, tidak ada politik dendam dalam pentadbiran kerajaan baharu PAS Terengganu ini.
“Kita mahu maju kedepan, tidak ada dendam dalam pentadbiran (kerajaan) kita. Mereka rakyat kita semua dan perlu diberi hak kepada yang berhak serta layak.
“Mainlah peranan masing-masing di mana (posisi) kita berada sekarang. Saya akan tunaikan dengan baik tugas sebagai Exco (kerajaan negeri), InsyaAllah. Semua orang mesti berperanan,” ujarnya.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) bagi Dun Ladang dan Dun Batu Buruk di Pejabat Daerah Kuala Terengganu, kelmarin.
Sehubungan itu, kata beliau, semua jentera kerajaan seperti J3K, I-MITS (Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera) dan UPDI (Urusetia Penerangan Darul Iman) dapat membantu kerajaan sepenuhnya.
Beliau mengakui, kesukaran pentadbiran negeri hari ini mengenal pasti kategori golongan miskin yang perlu dibantu sebagai kerajaan.
“Kita perlukan maklumat yang tepat. Kerajaan negeri ada sedikit masalah untuk mengenal pasti orang yang dinamakan miskin. Ianya, banyak berkait dengan manifesto kita (PAS) hendak bantu orang miskin.
“Takrif kemiskinan ini banyak, banding orang yang kerja gaji RM1,500 anak seorang dengan gaji RM1,500 anak ramai, miskin atau tidak?
“Sebab itu, kita minta J3K dapat memainkan peranan buat semakan untuk kenal pasti siapa orang yang dikategorikan miskin itu,” ujarnya.
Beliau yang juga Adun Ladang berkata, kerajaan negeri akan membantu semua rakyat yang miskin tanpa mengira warna politiknya.
“Pengalaman lalu, orang miskin ini dalam senarai e-Kasih. Tetapi, masih ramai lagi orang yang miskin tidak berada dalam senarai e-Kasih.
“Sebelum ini (kerajaan Barisan Nasional) orang dalam senarai e-Kasih itu hanya kepada orang yang dikasihi sahaja. Sekarang kita (kerajaan) tidak mahu begitu.
“Jangan kira warnalah kepada orang yang miskin tetap miskin dan perlu dibantu mereka itu, tegasnya dihadapan ratusan J3K yang baharu dlantik,” ujarnya.
Hadir sama pada majlis itu, Adun Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Zulkifli Wahab dan Pegawai Daerah atau Pentadbir Tanah Kuala Terengganu, Azmi Razik. -HARAKAHDAILY 1/8/2018