Realisasikan agenda privasi ibu bersalin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kesihatan sewaktu bersalin bagi ibu-ibu hamil dibawah kendalian pegawai perubatan dan jururawat wanita menuntut kesungguhan kerajaan bagi menjayakan pelaksanaan tersebut, demikian tegas Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam.

- Advertisement -

Katanya, Muslimat PAS berharap pihak kerajaan segera menggerakkan usaha bersepadu dan memberi perhatian terhadap isu berkaitan sebagaimana dinyatakan Ahli Parlimen PAS Pasir Puteh, Dato’ Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh pada persidangan minggu lalu.

Menurut beliau, usaha untuk bergerak ke arah tersebut akan diterima sebagai antara tindakan mengangkat martabat kaum wanita dengan memberi penghormatan dan kemuliaan sewajarnya selaras Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

“Kemuliaan seorang wanita dalam setiap apa jua siatuasi harus sentiasa dipelihara dan dipulihara. Apatah lagi dalam situasi seorang ibu yang menghadapi saat-saat melahirkan, kemuliaan diri sehabis dapat terus dipelihara dan tidak harus dikompromi,” ujar beliau.

Tawar beliau, Muslimat PAS sedia mengemukakan sebarang kertas kerja cadangan atau menghantar wakil bagi membentangkan pandangan untuk memastikan pelaksanaannya dapat diadakan setidak-tidaknya di hospital kerajaan.

Jelas Dr Rosni, Muslimat PAS pernah mengadakan diskusi meja bulat membincangkan khusus isu tersebut dan memahami pelbagai kekangan yang wujud, namun percaya ianya dapat diatasi dengan tindakan pengurusan terbaik.

Secara ringkas terang beliau, empat pelan tindakan asas diperlukan iaitu pertama; melibatkan aspek sumber tenaga kerja yang melibatkan pendidikan latihan dan penempatan bidan terlatih (midwifes), latihan bagi para doktor siswazah (houseman) serta latihan bagi pakar sakit puan.

Manakala kedua katanya, peruntukan dan perhatian daripada pihak kerajaan untuk menyediakan keperluan ke arah itu disertai sama, ketiga iaitu insentif atau galakan kepada lebih ramai pegawai perubatan wanita melanjutkan latihan dalam kepakaran sakit puan (O&G).

Dan keempat terangnya, aspek penyelarasan kerja pegawai perubatan wanita termasuk soal kebajikan mereka di mana sekurang-kurangnya empat tumpuan ini menjadi asas bagi membolehkan pelaksanaan dijayakan. -HARAKAHDAILY 1/8/2018

- Advertisement -