Mungkir janji, penipuan terbuka kepada rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sikap Kerajaan PH memungkiri segala janji-janji pilihan raya yang dinyatakan mereka pada PRU14 lalu, kini telah menjadi satu penipuan terbuka kepada rakyat, demikian bidas Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS – Tumpat).

- Advertisement -

Menurut beliau, rakyat tidak terfikir sama sekali akan permainan janji oleh parti komponen pilihan mereka yang diharap setelah menukar kerajaan lalu untuk melihat perubahan kepada sebuah pemerintahan lebih telus dan terbuka.

Kemuka beliau, antara dijanjikan sebagaimana tertera pada muka surat 21 Buku Harapan, bahawa Kerajaan PH akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri pengeluar yang lain kepada 20 peratus.

Malah bacanya, pada buku itu juga tertera untuk memberi nilai yang bersamaan sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum lebih adil di mana akan membolehkan negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak perbelanjaan pembangunan di negeri.

“Biar apa pun yang disebut oleh Langkawi selaku Perdana Menteri, atau jawapan Gombak selaku Menteri Ekonomi dalam isu royalti petroleum, seluruh rakyat khususnya rakyat Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu yang keluar mengundi pada 9 Mei yang lalu teruja dengan janji 20 peratus royalti yang ditingkatkan daripada 5 peratus sebelumnya.

“Tidak terfikir oleh mereka akan permainan janji kerajaan pilihan mereka, kononnya 20 peratus yang dijanjikan itu adalah 20 peratus daripada keuntungan. Bahkan tidak terfikir oleh sesiapa jua yang waras di Dewan ini untuk berfikiran yang demikian ini,” ujarnya ketika membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Melanjutkan hujah, beliau juga menarik perhatian dewan terhadap janji menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di mana rakyat yang keluar mengundi khususnya dalam PRU lalu begitu teruja untuk melihat dan menikmati pengurangan beban ditanggung mereka.

Sekali lagi baca beliau, perkara itu dinyatakan pada muka surat 16 dalam Buku Harapan, di mana PH akan menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari selepas membentuk Kerajaan Persekutuan sebagai langkah serta-merta mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

Namun katanya, realiti yang berlaku hari ini setelah GST disifarkan, harga barangan masih juga tidak turun, sedangkan pada 1 September nanti rakyat akan dibebankan dengan 10 peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Tegas beliau, SST sudah tentu akan meningkatkan harga barangan dan menambah lagi bebanan yang ditanggung oleh rakyat, tidak seperti janji untuk mengurangkan bebanan sebagaimana dikemukakan PH.

“Sehubungan itu, sepertimana Manifesto Gagasan Sejahtera, saya mencadangkan kepada kerajaan supaya meneliti bentuk Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Saham yang lebih memenuhi cita rasa Islam bertepatan dengan prinsip keadilan masyarakat yang bukannya dari bentuk cukai kepenggunaan yang membebankan rakyat,” ujarnya mencadangkan.

Terdahulu, beliau turut mengimbas kegagalan Peraturan Dewan (Point of Order) dipatuhi dalam proses pelantikan Yang DiPertua Dewan yang membawa mesej awal bahawa Malaysia Baharu juga tidak menjamin peraturan akan dipatuhi dalam tindakan selanjutnya. – HARAKAHDAILY 31/7/2018

- Advertisement -