Bantah UEC: Polis panggil dua aktivis mahasiswa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua aktivis mahasiswa dari Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung penganjuran himpunan bantah UEC yang diadakan pada 21 Julai lalu di Masjid Negara dan di pekarangan kompleks membeli-belah Sogo.

- Advertisement -

Presiden GAMIS, Muhd Faizuddin Mohd Zai bersama timbalannya, Muhd Shafiq Sharif memberi keterangan selama sejam setengah disoal siasat di bawah undang-undang Seksyen 27 Akta Polis, penganjur perhimpunan harus mendapatkan lesen atau permit daripada OCPD sebelum diadakan apa-apa perhimpunan.

Menurut Faizuddin, pihaknya telah memaklumkan berkenaan himpunan tersebut kepada pihak ‘special branch’ (SB) dan turut mendapatkan nasihat daripada peguam sebelum meneruskan hasrat untuk mengadakan himpunan aman terbabit.

“Kita dah hubungi SB sebelum ini, dan kita dah dapatkan nasihat daripada peguam dan peguam kata cukup memadai kita memaklumkan sepertimana ia ada dalam akta.

“Soalannya biasa-biasa sahaja, tapi kami seolah-olah disiasat seperti sedang melakukan jenayah namun dia (polis) iktiraf ucapan kita tidak ada hasutan dan dia iktiraf yang ucapan kami memang ucapan berfakta dan berobjektif namun dia fokus kepada akta penganjuran himpunan aman.

“Kita tidak akan tunduk kepada itu kerana kita percaya bahawa rakyat Malaysia diberikan hak untuk menikmati kebebasan bersuara sepertimana ada dalam perlembagaan,” katanya yang juga pernah menganjurkan himpunan aman sebelum ini di lokasi yang sama pada awal tahun ini.

Turut mengiringi mereka bagi memberi keterangan adalah Timbalan Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Kamaruzaman Mohamad dan Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud.

Menurut Wan Rohimi, tindakan pihak berkuasa memanggil pelajar untuk diambil keterangan hanyalah satu bentuk perbuatan untuk menakut-nakutkan sedangkan isu UEC yang diperjuangkan oleh mahasiswa adalah isu utama pendidikan negara.

“Malaysia baru hari ini tidak ubah seperti Umno bahkan lebih teruk dari rejim BN, sedangkan isu UEC ini sepatutnya menteri panggil persatuan pelajar untuk duduk berbincang. Jadi kita minta kerajaan PH (Pakatan Harapan) supaya bukan sahaja bercakap tentang ‘rule of law’ tetapi hayatinya,” katanya.

Beliau berharap selepas ini tidak ada lagi arahan dari polis untuk memanggil mana-mana pimpinan mahasiswa untuk diambil keterangan dengan motif diambil keterangan adalah tidak perlu kerana isu yang diperdebatkan pelajar ini adalah isu soal pendidikan.

Hadir sama memberi sokongan kepada mahasiswa adalah NGO PERKID, yang dihadiri pengerusinya, Ustaz Masridzi Sat.– HARAKAHDAILY 29/7/2018

- Advertisement -