LAJSM2018 bakal tarik 50K peserta

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2018 (LAJSM2018) dijangka menarik penyertaan sekitar 50,000 peserta, demikian menurut Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.
 
Maklumnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, unjuran tersebut dinyatakan Pengerusi Persatuan Olahraga Amatur Malaysia, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh kepada beliau.
 
Demikian itu ujarnya, penganjuran tersebut bakal memberi manfaat bermakna kepada para peniaga dan rakyat negeri tersebut.
 
Jelas beliau, acara tahunan sukan pelancongan bertaraf antarabangsa ini telah diberikan kepercayaan kepada Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) untuk mengelolakannya.
 
“Ia salah satu usaha Kerajaan Negeri menjayakan “Visit Beautiful Terengganu” dan acara ini menjadi platform mempromosikan pelbagai keindahan dan keunikan negeri.
 
“Tema ‘Vacay-Run’ digunakan untuk mempromosi pelancongan sukan ini dengan lima kategori,” ujarnya pada Majlis Pra-Pelancaran LAJSM2018 di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.
 
Acara yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM214,000 itu turut menerima pengesahan penyertaan dari luar negara antaranya Singapura, Thailand, Somalia, Yemen, United Kingdom, India, China dan New Zealand.
 
Beliau turut mengalu-alukan pelbagai pihak untuk sama-sama menceriakan acara yang akan dirasmikan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu.
 
LAJSM2018 yang akan berlangsung pada 8 September depan itu bakal dilaksanakan dengan lima kategori iaitu 42 kilometer (km), 21 km, 12 km, 5 km dan 3 km atau lebih dikenali sebagai ‘Fun Run’. -HARAKAHDAILY 27/7/2018
- Advertisement -