Jangan jadi punca tidak yakin, keliru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin kerajaan diingat agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat atau mengemukakan tafsiran bersifat apologetik hingga menimbulkan masalah hilangnya keyakinan dan kekeliruan di pihak lain.
 
Ahmad Amzad Hashim (PAS – Kuala Terengganu) berkata, kenyataan pemimpin kerajaan sentiasa dipandang serius oleh semua pihak termasuk ketelusan memberikan maklumat benar dan tepat berkaitan kewangan.
 
“Menyebabkan ketidakyakinan pelabur dan pelbagai pihak kepada negara. Khususnya sehingga membantut kerancakan pasaran modal di Bursa (Saham Malaysia) yang mana kita mengharapkan para pelabur kembali di bawah pentadbiran baru merancakkan dagangan dan membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi kita,” ujarnya.
 
Pemimpin kerajaan juga tegur beliau, mestilah tidak menambahkan lagi kekeliruan masyarakat terhadap agama Islam kerana telah sedia dikelirukan, hanya semata-mata kerana ingin menjaga hati pihak tertentu.
 
Menurut Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Terengganu itu, kerajaan sewajarnya memperkukuhkan institusi agama dan mempertahankan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
 
“Cukup banyak masalah yang menimpa negara akibat syariat agama tidak diendahkan,” utara beliau ketika membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.
 
Nasihatnya, ajaran agama dan nilai-nilai murni mestilah tidak diabaikan serta memelihara dari ancaman fahaman radikal dengan menentang sebarang kegiatan yang bersifat ekstremisma.
 
Amzad juga tegas menyatakan semua unsur pluralisma agama, liberalisma, LGBT dan pelbagai permasalahan seumpamanya perlulah dibendung dan ditangani dari terus membarah dalam masyarakat.
 
“Negeri Saba’ yang dikisahkan begitu makmur, namun dek kerana keingkaran mereka, Allah timpakan bala bencana dengan banjir sehingga menenggelamkan seluruh semua sekali. Begitu juga kisah Kaum Tsamud, kisah Kaum ‘Ad, kaum Nabi Luth.
 
“Semua ini seharusnya menjadi panduan kepada kita di dalam negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan,” ujarnya memetik kisah al-Quran dari ayat 15 hingga 17 surah Saba’ itu.

- Advertisement -

Beliau turut menzahirkan kehairanannya terhadap masalah kebanjiran tenaga pekerja asing yang merupakan imigran haram dianggarkan berjumlah 6.7 juta, namun hanya 2.1 juta atau 31.3 peratus mempunyai permit.
 
Beliau mempersoalkan sama ada undang-undang dan hukuman berkaitan yang ada ketika ini belum mencukupi untuk mengekang hal sedemikian dari terus berlaku. – HARAKAHDAILY 26/7/2018

- Advertisement -