Dakwah Islam Kesultanan Brunei

- Advertisement -

DENGAN peranan Brunei dalam mencapahkan lagi pengaruh Islam ke sebelah Timur Nusantara, telah memboleh Islam berkembang ke kawasan Filipina hari ini, sebelum kedatangan Sepanyol pada pertengahan abad ke-16M. Pada peringkat awal, para pendakwah sejak 1300M, lebih memberi tumpuan untuk berdakwah di Sulu dan Mindanao, berbanding Visaya dan Luzon. Semenjak Brunei meluaskan pengaruh politiknya ke pulau-pulau tersebut, pengaruh Islam turut berkembang. Brunei sebenarnya bukan sahaja meng-Islamkan Luzon dan Visaya, tetapi turut menyebarkan Islam di beberapa bahagian di Kalimantan sehingga dapat membentuk beberapa Kerajaan Islam yang baru di Borneo. Penglibatan para ulamak-pendakwah yang bergerak dari Brunei untuk menyebarkan Islam ke Timur, termasuk Sulawesi dan Maluku telah menjadikan Brunei sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang penting di Nusantara. Salah satu faktor yang mempercepatkan proses dakwah ini perdagangan, di mana Brunei adalah pelabuhan utama di Borneo ketika itu.

- Advertisement -

Ketika Brunei berada di puncak pengaruhnya pada abad ke-16M, kemasukkan penjajah Barat seperti Portugis, Sepanyol, Inggeris dan Belanda, bukan sahaja menghentikan gerakan dakwah kerana Kerajaan Brunei terpaksa berperang dengan Sepanyol, tetapi juga telah menyebab Wilayah-wilayah Brunei seperti Luzon, Visaya, Borneo Utara dan Sarawak terlepas ke tangan penjajah. Siri-siri peperangan yang berlaku di Kota Seludong pada 1570-anM dan diikuti oleh serangan Sepanyol ke atas Mindanao dan Brunei sendiri pada abad ke-17M, telah memberi kesan besar kepada gerakan dakwah Islam. Dalam menggerakkan usaha dakwah ini, selain faktor kerajaan, peranan para ulamak sangat besar, di mana mereka telah memasuki kawasan-kawasan Dayak di pedalaman Borneo dan juga menjelajah pulau-pulau di Sulu dan Visaya untuk menyebarkan Islam. Kegigihan para ulamak di Timur Nusantara adalah lebih besar berbanding dakwah di sebelah Barat Nusantara yang mempunyai keadaan geografi yang lebih baik. Sekiranya tidak berlaku gangguan terhadap dakwah dengan kehadiran penjajah, mungkin seluruh keturunan peribumi di Borneo akan menerima Islam, dan seluruh Filipina juga menjadi Wilayah Islam.

Ulamak dan kegiatan keilmuan

Peng-Islaman Awang Alak Betatar pada 1368M telah membuka ruang yang luas kepada para ulamak untuk berdakwah. Namun begitu, pada peringkat awal, gerakan masih berlaku secara kecil-kecilan di mana proses pengajaran dan penyebaran ilmu sangat terhad kerana ketiadaan ulamak dan tiadanya institusi pendidikan yang didirikan. Istana menjadi tempat belajar bagi Sultan, kerabat Diraja dan pembesar. Di luar Istana, para pendakwah menyebarkan Islam sambil berdagang dan perkahwinan menjadi method dakwah yang penting. Apabila Syarif Ali, ulamak dari Makkah menjadi menantu Sultan Ahmad, ruang dakwah mulai menjadi lebih luas. Pada 1425M, setelah Syarif Ali ditabalkan sebagai Sultan Brunei, masjid-masjid dan surau mula didirikan dengan banyak untuk menjadi institusi pendidikan dan dakwah kepada masyarakat awam. Para ulamak yang terlibat dalam gerakan dakwah semakin ramai dengan kehadiran Wan Nik al-Fathani, Sayyid Abu Bakar, Sheikh Adam, Syed Alawi al-Faqih Muqaddam dan lain-lain. Pada peringkat ini proses penyebaran ilmu-ilmu Islam menjadi semakin meluas, termasuk melalui hubungan perdagangan di mana bukan sahaja ulamak-pendakwah didatangkan ke Brunei, tetapi kitab-kitab yang disalin dan diterjemah di Samudera-Pasai dan Melaka turut dibawa sampai ke Brunei.

Walaupun di Brunei sendiri, tiada catatan mengenai kewujudan institusi pendidikan Islamnya yang besar, tetapi dipercayai ulamak-ulamak telah mengadakan majlis-majlis ilmu, sebelum orang tempatan dihantar belajar di Samudera-Pasai dan Melaka. Yang lebih menarik ialah wilayah-wilayah jajahan Brunei terutama di sepanjang pesisir Borneo telah dapat melahirkan ulamak-ulamak besar. Sebagai contoh, Sayyid Abu Bakar yang asalnya bergiat di Brunei, kemudian mengembangkan dakwah di Mindanao, Martapura dan Banjarmasin. Cucu beliau, Sheikh Muhammad Arshad al-Banjari (1710-1812M), merupakan antara ulamak Melayu yang terbesar pada abad ke-18M. Demikian juga kemunculan Sheikh Ahmad Khatib Sambas, Sheikh Othman Syihabuddin al-Funtiani, Syed Mashor Abu Bakar al-Idrus Baram dan Sheikh Othman Abdul Wahab Sarawak, yang merupakan ulamak-ulamak yang terkenal di Makkah dan Nusantara, serta mempunyai ramai murid. Sedangkan di Brunei sendiri lahir ramai tokoh ulamak pendakwah tempatan seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Penyebaran Islam di Timur Nusantara

Gerakan dakwah yang berpusat di Brunei telah menjadikan negara ini sebagai pusat gerakan dakwah ke Kepulauan Timur Nusantara. Para pendakwah dari Melaka, Pattani dan Champa, selain dari Arab dan India, telah menjadikan Brunei sebagai pusat transit dakwah mereka. Banyak catatan direkodkan berkait kehadiran pendakwah dari Pattani dan Champa ke Brunei. Samudera-Pasai dan Melaka juga mengirimkan pendakwah mereka ke Timur. Hasil dari itu, ulamak-pendakwah mula bergerak ke kawasan pulau-pulau Timur sehingga mereka dapat mendirikan Kerajaan-kerajaan Islam di sana. Dari Brunei, telah bergerak pendakwah yang datang bersama Syarif Ali ke Maluku dan dapat mendirikan kerajaan di Ternate. Pendakwah yang datang dari Pattani dan Champa pula telah bergerak dari Brunei ke Jawa dan Makassar, termasuk kumpulan Wali Songo. Pergerakan ulamak Brunei juga turut menyebarkan Islam di Martapura, Banjarmasin dan Sambas di Kalimantan, selain Sabah dan Sarawak, sehingga seluruh Borneo menerima pengaruh Islam dari Brunei.

Turut berjaya di-Islamkan ialah Pulau-pulau Mindanao, Sulu, Visaya dan Luzon yang membentuk Negara Filipina hari ini. Pada peringkat pertama, ulamak dari Melaka bergerak ke Brunei, kemudian ke Sulu. Antara mereka termasuklah Makhdum Sayyid Abdul Aziz, Syarif Hashim, Syarif Awlia dan Tuan Maqbalu yang masuk ke Sulu dan Mindanao sepanjang abad ke-14 dan 15M. Hasil daripada gerakan dakwah mereka, Kerajaan Sulu dan Maguindanao telah berjaya ditubuhkan. Pada satu masa, kedua-dua kerajaan ini menjadi naungan Brunei. Sultan Bolkiah pada awal abad ke-16M telah meluaskan pengaruh politik dan dakwahnya di Pulau-pulau Visaya. Pemimpin tempatan dan penduduk mereka kemudiannya telah menerima Islam. Setelah itu, Brunei meluaskan wilayahnya ke Luzon dan dapat menguasai Kota Seludang dan mendirikan Kerajaan Amanillah di sana. Tetapi agak malang, kerana peng-Islaman Visaya dan Luzon berlaku pada pertengahan abad ke-16M, ketika mana kemaraan penjajah Sepanyol telah berlaku. Berbeza dengan Mindanao yang menerima Islam 200 tahun lebih awal, Kota Seludang (kini Manila) yang baru memeluk Islam telah dimurtadkan oleh Sepanyol apabila Raja lantikan Brunei, Sultan Sulaiman (Rajah Solimon) telah tewas dalam perang dengan Sepanyol pada 1571M.

Penjajahan dan kekangan dakwah

Nasib malang yang dihadapi oleh umat Islam di Luzon dan Visaya bukan sahaja telah menghentikan gerakan dakwah di sana, tetapi hampir seluruh umat Islam di sana dibunuh atau dimurtadkan. Inilah pendekatan penjajah Kristian Sepanyol terhadap umat Islam sejak kejatuhan Granada pada 1492M. Kekalahan Raja-raja Islam di Luzon seperti Raja Matanda, Raja Lakandula dan Raja Sulaiman telah melenyapkan Kerajaan Islam di Luzon. Kemasukan Portugis di Pulau Cebu pada 1526M pula telah memulakan halangan terhadap dakwah di Visaya dan Luzon, apabila kawasan ini jatuh ke tangan Sepanyol pada 1571M. Tetapi usaha Sepanyol untuk menghancurkan Kerajaan Islam di Sulu, Maguindanao dan Brunei telah gagal. Di sebelah Barat, gerakan dakwah yang selama ini terhalang oleh kemunduran masyarakat Dayak di pedalaman Lembah Rajang dan Kapuas, telah terhenti ekoran pemberontakan orang Bidayuh, Cina dan Dayak terhadap pembesar Melayu dan Melanau yang merupakan wakil Brunei di Sarawak.

Untuk menghapuskan gerakan pemberontakan ini, Pengiran Muda Hashim telah meminta bantuan James Brooke pada 1839M. Selepas dapat mengatasi semua pemberontakan pada 1841M, James Brooke telah diiktiraf sebagai pemilik Sarawak pada 1842M yang membayar ufti kepada Brunei, yang menyebab gerakan dakwah hanya tertumpu di kawasan Bandar Kuching yang didiami oleh orang Melayu dan Melanau sahaja. Di wilayah-wilayah lain di Kalimantan, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824M pada asasnya telah menyebabkan Kesultanan Sambas, Matapura, Banjarmasin dan Pontianak telah jatuh ke tangan Belanda. Walaupun Belanda gagal meng-Kristiankan orang Islam di Borneo, tetapi kedatangan mereka sama seperti kedatangan Inggeris di Sarawak dan Sabah, yang menyebabkan proses peng-Islaman penduduk peribumi seperti Dayak di Sarawak dan Kalimantan serta Kadazan dan Dusun di Sabah telah terhenti. Orang Dayak di Pontianak, Sambas dan Balikpapan mengikuti orang Banjar menganut Islam, tetapi yang berada di pedalaman Kapuas tidak sempat didakwah oleh mereka.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
9 Zulqaedah 1439 / 22 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 26/7/2018

- Advertisement -