Perjuangan PRU15 bermula di Sg Kandis

- Advertisement -

TINDAKAN PAS tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dun Sg Kandis, Selangor terus menjadi isu besar malah menggerhanai pertandingan sebenar dalam PRK berkenaan antara calon PKR, BN dan Bebas.

- Advertisement -

Kawasan DUN yang punya 75 peratus pengundi Melayu Islam itu lazimnya kerusi yang di-tandingi PAS dan memang dalam PRU ke 14 lalu kerusi berkenaan telah melihatkan pertandingan empat penjuru antara calon-calon PKR, PAS, BN dan PRM.

Namun demikian banyak telah berubah pasca PRU14. Pertama dan terbesar BN telah berjaya digulingkan di peringkat Persekutuan dan Putrajaya hari ini melihat kerajaan baru iaitu kerajaan didukungi PH dengan bekas PM Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menterinya.

BN hari ini adalah Pembangkang di Parlimen dan cuma bertahan sebagai Kerajaan Negeri di Perlis dan Pahang sahaja apabila mereka turut hilang kuasa di negeri-negeri tradisional mereka yang lain.

Dalam PRU ke 14 lalu, secara bersendirian atas platform Gagasan Sejahtera PAS berusaha merobohkan Kerajaan BN yang ternyata pincang dan tempang, namun gagal menggantikannya dengan sistem yang diperjuangkan PAS apabila PH yang menang dan memegang teraju.

Pemerintahan BN tamat di peringkat Persekutuan namun atas robohan BN itu yang bangkit dan didirikan adalah sebuah kerajaan pro Sekular, Liberal yang tidak selari dengan perjuangan PAS dan lebih parah lagi didominasi pula oleh wakil-wakil bukan Islam yang bilangannya lebih ramai dari wakil-wakil Islam dalam Kerajaan PH.

Atas realiti itu, pasca PRU14, tugas PAS tidak terhenti. Agenda untuk menegakkan sebuah pemerintahan yang adil dan saksama berteraskan Islam sebagai prinsip dan dasar pemerintahan perlu diteruskan. Dan yang menjadi sasaran hari ini bukan lagi Kerajaan BN Umno yang telah pun tumbang, tetapi yang perlu disasarkan adalah Kerajaan PH yang didominasi DAP yang kuat dan jelas menentang perjuangan PAS.

Kerana itu perjuangan PAS konsisten. Dalam realiti pasca PRU14 ini PAS dan BN kini duduk di blok Pembangkang. Kecuali di Perlis dan Pahang di mana BN kerajaan dan di Kelantan dan Terengganu di mana PAS kerajaan, di negeri-negeri lain termasuklah peringkat Persekutuan PAS dan BN adalah Pembangkang.

Kerana itu bagi menghadapi PRK Sg Kandis PAS mengambil kira realiti bahawa pertandingan terbaik menghadapi PH adalah satu lawan satu dan tidak sebagaimana PRU14 lalu sehingga pertandingan pelbagai penjuru telah memenangkan PH. Pembangkang tidak boleh berpecah bertanding sesama sendiri dan akhirnya menguntungkan PH dan meneguhkan kuasa mereka.

Lalu PAS setuju Sg Kandis mesti melihat pertandingan satu lawan satu, dan setelah berunding sesama blok Pembangkang, BN diberi laluan.

PAS tidak perlu bekerjasama politik dengan BN untuk memutuskan pertandingan di Sg Kandis. Persetujuan PAS memberi laluan bermakna PAS sedar dan akur Pembangkang tidak boleh berpecah menghadapi PH yang kuat cengkamannya di Selangor.

PAS mengharapkan blok Pembangkang khasnya dalam kes ini di Sg Kandis akan menjadi semakin kukuh agar kerja-kerja semak dan imbang dapat dilaksanakan dengan baik selain isu berhubung kepentingan Melayu dan Islam dapat diperjuang dan dipertahankan dengan lebih bermakna.

Kebelakangan ini pasca PRU14, rakyat resah apabila isu-isu besar membabitkan kos hidup terus tiada penyelesaian yang tuntas dan bermakna sedangkan beberapa langkah kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri dilihat mula mengganggu dan menggugat status quo serta kepentingan Islam dan orang-orang Melayu.

PH Selangor sudah punya majoriti dua pertiga dalam Dun Selangor. Memberi mereka kemenangan di Sg Kandis bermakna mengukuhkan lagi kedudukan mereka di Dewan sedangkan apa yang diperlukan adalah suara Pembangkang yang lebih vokal. Menang Pembangkang di Sg Kandis tidak menggugat majoriti dua pertiga PH tetapi sekurang-kurangnya ia memberi isyarat pada PH bahawa blok Pembangkang bersatu menghadapi mereka.

Rakyat khususnya pengundi di Sg Kandis perlu dimaklumkan betapa pentingnya PH yang didominasi DAP itu tidak diberi undi dalam PRK ini. PH perlu diberi isyarat yang jelas bahawa majoriti rakyat Melayu Islam memang bencikan pemerintah yang tempang dan pincang namun dalam waktu yang sama mereka juga mahu kerajaan yang prihatin akan nasib mereka dan teguh membela kedudukan Islam dan Bangsa Melayu serta Bumiputera.

Siapa lagi jika tidak 75 peratus pengundi Melayu Islam di Sg Kandis yang boleh bangkit dalam PRK ini memberikan isyarat yang jelas dan kukuh bahawa rakyat Melayu dan Islam tidak selesa dengan agenda DAP yang diberikan keutamaan oleh Kerajaan PH sehingga meletakkan kedudukan Melayu Islam dalam ancaman.

Politik pasca PRU14 ini telah jauh berubah. Jangan lagi kita terperangkap dengan suasana yang lama. Langkah berani dan benar perlu diambil demi menyelamatkan negara dan negeri dari jatuh menyembah di bawah telunjuk DAP.

Perjuangan bagi PRU ke-15 bermula di Sg Kandis. Bangkitlah saudara-saudara kita semua. – HARAKAHDAILY 25/7/2018
 

- Advertisement -