Muslimat Petra Jaya terus dekati penduduk

- Advertisement -
PETRA JAYA: Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya telah menganjurkan program “Kamek Prihatin Kesihatan Kitak” di Kampung Samariang Batu, di sini kelmarin.
 
Program berobjektifkan dakwah dan kebajikan ini telah berjaya menarik ramai penduduk sekitar untuk turun menyertai aktiviti-aktiviti yang disusun.
 
Antara aktiviti tersebut adalah pemeriksaan kesihatan percuma, Kuliah Dhuha, bacaan Yasin dan tahlil, jualan amal, aktiviti mewarna, cabutan bertuah dan jamuan makan.
 
Pemeriksaan kesihatan percuma yang diadakan telah mendapat kerjasama dari pegawai-pegawai perubatan ppasukan Medik Muslimat (MUSMEDIK). 
 
Selain itu, sesi penerangan mengenai ubat-ubatan oleh pegawai farmasi turut dijalankan bagi mendidik masyarakat berkenaan penggunaan ubat-ubatan dengan betul dan selamat.
 
Kuliah Dhuha pula telah disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
 
Turut hadir bersama memeriahkan majlis adalah Pengerusi Assabiqat Dewan Muslimat PAS Malaysia, Khadijah Salleh dan Ketua Muslimat PAS Petra Jaya, Habsah Bujang.
 
“Kami di Dewan Muslimat PAS Petra Jaya akan terus komited menyahut seruan PAS Pusat untuk terus istiqamah turun ke lapangan bagi mendekati masyarakat walaupun bukan di musim pilihan raya,” ujar Habsah. -HARAKAHDAILY 25/7/2018
- Advertisement -