Kerajaan digesa beri keutamaan hal ehwal OKU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sasaran pengambilan satu peratus pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU) di jabatan kerajaan perlu diberi penekanan oleh pihak kerajaan, demikian gesa Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS – Pasir Mas).
 
Beliau juga mahu kerajaan memberi perhatian kepada para petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang berbakti untuk OKU, tetapi hanya diberikan elaun RM800 sebulan di mana disifatkannya sangat menyedihkan.
 
Sedangkan ujarnya, petugas di PDK antara yang berkorban menangani terutamanya kanak-kanak OKU yang tercicir daripada arus perdana pendidikan dengan melayani dan mengasuh urus mereka.
 
“Melihat kepada kepentingan PDK sebagai sokongan utama dan kritikal kepada OKU adalah tidak adil untuk kita melayan petugas-petugas seperti ini. Keperluan terapis patologis, Pertuturan Bahasa SLP dalam penilaian, diagnosis dan pemulihan OKU sangatlah kritikal.
 
“Buat ketika ini perkhidmatan SLP hanya ada di Hospital Kerajaan, Hospital Universiti dan di Pusat Pendidikan Khas. Namun jumlahnya sangat sedikit berbanding dengan jumlah OKU memerlukannya.
 
“Ini menyebabkan ramai anak-anak OKU tidak mendapatkan perkhidmatan pemulihan yang bagus dan berkesan,” kesali beliau.
 
Tempelaknya juga, kemudahan-kemudahan di Parlimen sendiri juga masih belum mesra OKU dan ketinggalan berbanding Negara maju lain yang mewujudkan prasarana berkaitan. – HARAKAHDAILY 25/7/2018

- Advertisement -
- Advertisement -