Pelabuhan Tumpat: Menteri jalan mengundur

- Advertisement -

JAWAPAN balas Kementerian Pengangkutan mengenai soalan jawab lisan Parlimen yang membangkitkan isu pembangunan sebuah pelabuhan di Tumpat bukan seperti yang diharapkan. Dalam jawapan bertulis bertarikh 19 Julai yang lalu, kerajaan menyatakan bahawa tidak ada keperluan untuk membangunkan sebuah pelabuhan di sana selepas melaksanakan kajian dengan beberapa pihak.

- Advertisement -

Suka untuk saya jelaskan bahawa janji untuk membangunkan sebuah pelabuhan di Tumpat ini bukan baharu, malah telah berlaku sejak 1969. Malah, pihak Kementerian sendiri telah meluluskan lesen dan kelulusan pembinaan pelabuhan tersebut sejak 1995, namun sehingga kini projek tersebut masih terabai.

Sepatutnya Kerajaan mengkaji kelemahan yang berlaku yang menyebabkan projek tersebut terbengkalai, bukannya mengundur ke belakang untuk menentukan sama ada ia relevan untuk membina sebuah pelabuhan atau tidak. Pendirian yang dikemukakan pihak Kementerian untuk tidak membangunkan pelabuhan di Tumpat sewajarnya diperhalusi semula.

Saya akan cuba sedaya upaya membawa suara rakyat Tumpat supaya pembangunan pelabuhan ini dapat direalisasikan bersama demi kemudahan rakyat di sana.

Sekian.

“Sejahtera Bersama Islam”

YB DATO’ HAJI CHE ABDULLAH MAT NAWI,
Ahli Parlimen Tumpat.
24 Julai 2018 bersamaan 11 Zulkaedah 1439H. – HARAKAHDAILY 24/7/2018

- Advertisement -