POLEMIK tidak harus sama sekali ditimbulkan terhadap janji untuk mengembalikan semula royalti petroleum kepada negeri-negeri pengeluarnya. Menunai janji dan memberikan hak wajib dilaksanakan dengan penuh keikhlasan tanpa sebarang dolak-dalih lagi.
Akhlak Islam mengajar setiap pemberian dilakukan tanpa kepentingan bahkan dilarang menyakiti perasaan penerima sekalipun. Apatah lagi memulangkan hak yang telah dinafikan sekian lama. Malah menjadi janji yang dihebahkan serta menggaris di dalam manifesto.
Kelantan dan Terengganu sebagaimana negeri sepertinya turut punyai keperluan dalam pembangunan negeri serta rakyatnya. Ia tidak harus menuntut atau perlu menagih daripada Kerajaan Persekutuan. Jauh sekali disimpangsiurkan pemberian atas nama lain.
Hal tersebut terang nyata dan telah termeterai dalam Akta Pelantar Benua 1966, Akta Perlombongan Petroliam 1966, Akta Kemajuan Petroliam 1966 dan Ordinan Darurat 1969. Ia janji yang muktamad antara pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Petronas.
PH sendiri yang kini menerajui Kerajaan Persekutuan menyatakan pada halaman 28 Buku Harapan untuk meningkatkan royalti kepada 20 peratus. Selain mengakui ia akan membolehkan negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan negeri.
Secara tiba-tiba mengemuka huraian berbeza terhadap cara pengiraan royalti tersebut. Hal ini menimbulkan kemusykilan sama ada benar Kerajaan PH mahu menunaikan janji. Setelah pula beberapa janji sebelum ini juga dihadapkan dengan pelbagai alasan.
Kami mengingatkan, sekalipun mahu memutarbelitkannya, hak asal 5 peratus sebagaimana termaktub dalam perundangan serta perjanjian termeterai, wajib dilunaskan sekurang-kurangnya. Kerajaan tidak harus bersilap mata mahupun dilihat berbohong.
Walhal, dalam kedudukan yang ada, Kerajaan Persekutuan hanyalah selaku Pemegang Amanah dan al-Quran mengingatkan:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila menetapkan hukum di antara manusia dengan adil.”
(an-Nisa’: 58)
Sehubungan itu, kami berharap atas semangat Federalisma, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat menutup episod lama isu ini dengan lembaran Malaysia Baharu untuk mensejahterakan rakyat dan negara menerusi penunaian hak dan janji.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 23/7/2018