Kerajaan disaran semarakkan Pelancongan-Agro

- Advertisement -
DUNGUN: Kerajaan disaran supaya membangunkan pelbagai produk Pelancongan Agro sejajar dengan perasmian projek herba oleh Sultan Terengganu di Kampung Pasir Raja, di sini.
 
Menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), Tengku Alias Tengku Mat Rani, 70, Kerajaan PAS Terengganu bersama penduduk pernah mengusahakan ternakan udang galah di situ.
 
Katanya, ketika itu, mantan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Al-Marhum Ustaz Abu Bakar Chik datang sendiri ke kampung tersebut bagi menyempurnakan projek bernilai ekonomi itu.
 
Selain pengeluaran udang yang berjaya beliau menambah, terdapat lebih 100 ekar tanah sawah diusahakan oleh penduduk berhampiran kolam udang tersebut.
 
“Ada 15 buah kolam udang semua yang menjalankan ternakan udang galah kerana kawasan ini amat sesuai.
 
“Belakang sana ada 100 ekar, masa PAS (perintah) buat, bila BN menang semula, jadi terbiar,” ujarnya.
 
Justeru, Penyelaras Dun Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut sama dalam lawatan itu bersetuju dengan cadangan veteran Kampung Pasir Raja itu. 
 
Katanya, beliau bersama Pengerusi J3K, Tengku Mohd Yunus Tengku Mat Rani akan membawa cadangan tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim.
 
“Kita akan bawa cadangan yang baik ini dan mengusulkan cadangan pembangunan semula kolam dan sawah itu, yang boleh menarik pelancong dalam dan luar.
 
“Saya juga akan bawa kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, YB Ariffin Deraman.
 
“Kerana kawasan ini, Hulu Dungun ini memang terkenal dengan pusat tarikan dengan adanya kawasan aktiviti lasak Sungai Kelemin dan air terjun tertinggi di Asia, Chemerong,” jelas beliau.
 
Semalam, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah mencemar duli mudik ke hulu Dungun bagi merasmikan Herba Integrasi di kampung pedalaman itu.
 
Menurut Pengerusi Bioalpha Holdings Berhad, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, syarikat yang diberi tanah tanah seluas 1000 ekar oleh kerajaan negeri negeri itu, mereka telah berjaya mewujudkan 32 peladang satelit.
 
Namun menurut Ghazali, masih kurang jumlah pengambilan pekerja tempatan dalam perusahaan bioteknologi yang tersenarai di bursa Malaysia sejak 2015. -HARAKAHDAILY 23/7/2018
 
 
 
 
- Advertisement -