Selamat menyambut Hari Sarawak

- Advertisement -

22 JULAI mula diisytiharkan sebagai Hari Sarawak bermula pada tahun 2016 oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, mantan Ketua Menteri Sarawak.

- Advertisement -

Tarikh ini diraikan sebagai mengingati Hari Sarawak mula dibebaskan daripada penjajah Koloni British pada tahun 1963 dan pentadbiran negeri mula diuruskan oleh anak Sarawak sendiri.

Ketika itu Ketua Setiausaha Kerajaan telah menyerahkan kuasa eksekutif kepada Kabinet baharu yang ditubuhkan pada 22 Julai oleh Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak pertama selepas parti beliau, Parti Perikatan Sarawak telah memenangi pilihan raya Sarawak yang pertama pada 24 Jun 1963.

Jika diteliti dari segi sejarah, pada tahun 1841, Kerajaan Sarawak telah diberikan kemerdekaan oleh Sultan Brunei tetapi ia jatuh semula ke bawah cengkaman British pada tahun 1888. Rakyat Sarawak telah melakukan protes menuntut agar rakyat Sarawak sendiri mentadbir Negeri Sarawak.

Pergolakan tersebut telah menyebabkan pembunuhan Duncan Stewart yang merupakan Gabenor kedua Koloni dan diganti dengan Anthony Abell. Anthony Abell telah membantu membawa Sarawak dan Borneo Utara ke dalam Persekutuan Malaysia.

Akhirnya, pada tanggal 22 Julai 1963, Sarawak telah diberikan pemerintahan sendiri selama mana ia menyertai Persekutuan Malaysia.

Usaha ke arah mendapat pemerintahan sendiri bukanlah satu perkara yang mudah. Sudah pasti banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh rakyat Sarawak yang terdahulu bagi memastikan Sarawak bebas dari cengkaman penjajah.

Oleh itu, sempena Hari Sarawak pada hari ini 22 Julai 2018, PAS Petra Jaya menyeru kepada seluruh warga Sarawak untuk sama-sama memanjatkan rasa kesyukuran atas nikmat keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati pada hari ini.

Bersamalah kita memelihara keharmonian kepelbagaian kaum dan agama di bumi Sarawak yang tercinta ini.

Pada hari ini juga, sudah ramai rakyat Sarawak keluar merantau ke serata Malaysia juga ke serata dunia. Jadi, walau di mana sahaja kita berada jagalah nama baik Sarawak dengan menunjukkan akhlak dan tauladan yang baik. Jadilah rakyat Sarawak yang bermaruah dan tinggi budi pekerti.

Sama-samalah kita hayati lirik lagu Ibu Pertiwiku ini:

Sarawak tanah airku
Negeriku tanah airku Sarawak
Engkaulah tanah pusakaku
Tanah tumpah darahku
Ibu pertiwiku

Rakyat hidup mesra dan bahagia
Damai muhibbah sentiasa
Bersatu berusaha berbakti
Untuk Sarawakku cintai
Sarawak dalam Malaysia
Aman makmur rahmat Tuhan Maha Esa
Kekal lah Sarawak bertuah
Teras perjuangan rakyat
Berjaya berdaulat

Selamat Hari Sarawak!

PENERANGAN PAS KAWASAN PETRA JAYA – HARAKAHDAILY 22/7/2018

IMG 20180722 WA0013

- Advertisement -