Mereka tidak boleh padam cahaya Islam

- Advertisement -

KEMAMAN: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa ilmu Islam adalah cahaya yang tidak boleh dipadamkan.

- Advertisement -

“Mereka hendak memadamkan cahaya agama Allah dengan mulut-mulut mereka kerana mereka ingat cahaya agama Islam ini macam pelita minyak gas, pelita minyak tanah, boleh dipadam dengan hembus sahaja. Mereka tidak boleh padamkan cahaya Islam,” katanya dalam program Ceramah Perdana Sempena Perasmian Mujamma’ dan Ihtifal Pusat Pengajian Taman Islam di Kemaman.

Beliau menjelaskan bahawa Islam mendirikan kerajaan dan menjatuhkan kerajaan besar seperti Parsi, Rom serta memasuki India dan China.

Katanya, Islam bukan sahaja mendirikan kerajaan sebaliknya mengajarkan cara untuk berpolitik dan berekonomi.

“Orang Islam yang pertama buat hospital, orang Islam yang pertama buat cek untuk tukar duit, orang Islam yang pertama buat bank,” ujar beliau.

Tambahnya, apabila ilmu dunia sahaja yang diambil maka berlakulah kecelaruan pada umat hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang bekata manusia mencipta senjata-senjata yang membunuh dengan ilmu dunia yang dimilikinya dengan senjata kimia dan nuklear untuk berperang.

Jelasnya lagi, manusia mengambil ilmu perubatan Islam namun disalahgunakan sehingga dadah menjadi makanan yang merebak ke seluruh dunia.

“Ini puncanya mereka mengambil ilmu dunianya tetapi tidak mengambil ilmu agamanya,” kata beliau.

Beliau berkata, umat Islam tidak meninggalkan ilmu agama dan ilmu fardhu ain ketika dijajah suatu ketika dahulu.

Ujarnya, Allah mewujudkan orang-orang yang memahami ilmu agama untuk memelihara agama dengan membuka pondok, membuka madrasah, pengajian masjid dan surau.

Ini, katanya merupakan salah satu faktor kepada kemenangan PAS di Kelantan dan Terengganu dan kekuatan di Kedah kerana terdapat ramai orang yang mengaji agama. – HARAKAHDAILY 22/7/2018

- Advertisement -