IKSIM bukan ‘ghanimah’ untuk direbut politikus

- Advertisement -

IKSIM memandang serius sindrom penafian di kalangan aktivis politik Islam dalam Pakatan Harapan (PH) yang cuba menutup kewujudan ancaman dan kebiadaban kumpulan Liberalis, Sekularis dan Ekstremis Evangelis terhadap kedaulatan Islam di negara ini.

- Advertisement -

Mereka ini yang terdiri dari aktivis NGO dan  berbagai parti politik sama ada PH atau Barisan Nasional (BN), malah mereka juga kini terdiri dari kalangan aktivis atasan PH. Sekadar penafian kosong dan tohmahan kononnya IKSIM sebagai alat politik BN, para asatizah di dalam PAN hanya menjadi tukang dobi kepada kelompok yang sangat berbahaya ini.

IKSIM, sebuah institusi yang selama ini dipertanggungjawabkan untuk memantau dan menguruskan isu-isu ancaman terhadap kedaulatan Islam ini, kini menjadi sasaran utama balas dendam politik mereka. Dana zakat fi sabilillah yang menjadi komitmen MAIWP untuk memastikan IKSIM memainkan peranan semak dan imbang elemen-elemen ancaman selama ini dihentikan secara tiba-tiba. Mungkin keberkesanan dakwah IKSIM menerusi agenda Daulatkan Islam Agama Negara (DIAN) dan kursus-kursus Transformasi Pemikiran Islam (TRAPI) yang mencecah lebih 300 ribu peserta dalam tempoh 3 tahun dengan perbelanjaan tidak sampai RM20 juta mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin Islam dalam PH yang terpaksa bergantung kepada sokongan pengundi bukan Islam dan pendukung agenda Liberal dan Sekular di dalam negara.

Selain pemimpin-pemimpin dalam PAN, terdapat individu dan kumpulan seperti Siti Kasim dan kumpulan G25, bercakap dalam nada yang serupa yang mahukan IKSIM ditutup dan dikenakan tekanan-tekanan tertentu. Namun pengakuan YB Hajjah Fuziah Salleh bahawa dana zakat fi sabilillah itu telah dibekukan tentunya menimbulkan rasa puas di kalangan kelompok Liberalis Sekularis dan Ekstremis Evangelis serta penyokong PH.

Tentunya tanpa dana, IKSIM hanya bergantung kepada capaian media sosial untuk menghadapi Tsunami kecelaruan aqidah yang dominan di kalangan pemimpin PH yang menerajui kerajaan hari ini. Pemberhentian itu menyebabkan berlakunya penganiayaan kemanusiaan apabila gaji kakitangan IKSIM tidak dapat dibayar penuh sejak Jun, komitmen pembayaran dengan pelbagai pihak, sewaan dan sebagainya yang terbantut, yang langsung tidak diambil kira oleh pihak CEO MAIWP sejak bulan Mei 2018.  

Untuk makluman, IKSIM diwujudkan sebagai syarikat dengan jaminan dan jaminan itu adalah daripada dana MAIWP. Walaupun berhadapan dengan ketidakadilan di atas campur tangan politik ini, semua kakitangan IKSIM tetap komited menjalankan semua Amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

Berdasarkan kepada perkembangan ini, Ketua Pegawai Eksekutif (IKSIM) telah mengambil langkah membuat aduan kepada penguatkuasa agama JAWI mengenai campur tangan politik kepartian dalam urusan dana zakat MAIWP dengan memberhentikan dana zakat IKSIM. IKSIM sentiasa berpegang teguh kepada dasar utama perjuangannya.

Daulatkan Islam Agama Negara! – HARAKAHDAILY 22/7/2018

- Advertisement -