Lafaz syahadah disaksi Tuan Ibrahim

kali2
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malam Rabu lalu adalah menjadi sejarah kepada dua sahabat baik Lee Chee Keong, 47, dan Tang Chew Then, 44, selepas melafazkan dua kalimah syahadah yang diajar mengucap oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man di Pejabat Agung PAS. Jalan Raja Laut.

- Advertisement -

Dua kenalan rapat ini mengambil keputusan memeluk Islam selepas tertarik kepada keindahan Islam yang ditunjukkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan tertarik dengan akhlak yang dibawa oleh orang Islam itu sendiri.

Ustaz Tuan Ibrahim menamakan Lee Chee Keong ditukar nama kepada Mohd Salleh Lee dan Tang Chew Then kepada Husin Tang, beliau berharap kedua-dua rakan ini yang baharu sahaja bergelar muallaf mudah menimba ilmu pengetahuan tentang ajaran Islam sebenar.

“Selepas ini, kamu perlu jaga akhlak Islam dan jangan bimbang kita bimbing kamu sikit demi sikit, peringkat awal belajar mudah-mudah dahulu tentang Islam,” pesan Ustaz Tuan Ibrahim.

Menurut Mohd Salleh Lee, beliau gemar mendengar alunan zikir taubat nasuha sehingga secara sendirinya menghafal bait-bait zikir tersebut termasuk memahami setiap patah ayat zikir yang dilaungkan dalam bahasa Arab dan diterjemahkan ke bahasa Melayu.

“Saya suka dengar zikir itu, ia dekat di hati saya,” ujarnya kepada Harakahdaily selepas mengalunkan dan berkongsi kefahaman maksud bait-bait zikir taubat nasuha itu.

Ketika ditanya mengenai perasaan beliau dan sahabat selepas melafaz dua kalimah syahadah, keduanya menjawab mereka kini merasa amat tenang dan telah lama bersedia untuk memeluk Islam sehinggalah mereka mengenali pendakwah bebas, Ustaz Yusuff Kwan, 61, sebulan yang lalu.

Ustaz Yusuff yang mengenali rapat dengan PAS membawa kedua-duanya ke Pejabat Agung PAS sebagai langkah awal mengucap dua kalimah syahadah sebelum meneruskan hasrat membawa dua sahabat ini ke Pejabat Perkim pada keesokan harinya.

Sehingga kini, Ustaz Yusuff pendakwah bebas yang bergelar muallaf selama 20 tahun dan sepanjang tempoh tersebut beliau telah berjaya menarik 4,200 orang bukan Islam mengajak kepada Islam.

“Ada yang dah jadi ustaz, ada yang dah jadi bilal. Alhamdulillah, saya akan tetap teruskan kerja-kerja dakwah ini selagi diberi kudrat dan kekuatan oleh Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/7/2018

kali2

kali1

- Advertisement -