Kaji UEC: Menteri Pendidikan ‘U-Turn’?

- Advertisement -

MAJLIS Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) melihat Menteri Pendidikan terpaksa akur dan mengubah sikap serta pendiriannya (U-Turn) berkaitan pengiktirafan UEC apabila terpaksa menerima tekanan daripada himpunan bantahan rakyat yang dicadangkan pada 28 Julai nanti, semasa beliau menjawab soalan seorang peserta Majlis Wacana Pendidikan Malaysia Baru hari ini di studio Sinar Harian.

- Advertisement -

Pendirian beliau bahawa UEC akan dikaji dan tidak terburu-buru untuk diiktiraf masih tidak cukup untuk meyakinkan gerakan himpunan bantahan daripada rakyat berhenti untuk berhimpun.

MAPPIM dan UMMAH dengan tegas menyatakan bahawa Menteri Pendidikan mesti tegas menolak sepenuhnya untuk tidak mengiktiraf UEC pada masa sekarang dan juga sampai bila-bila pada masa akan datang kerana UEC bercanggah dengan Sistem Pendidikan Negara.

MAPPIM dan UMMAH juga memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang tertentu supaya jangan cuba memaksa kerajaan dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengiktiraf UEC dalam kerangka Sistem Pendidikan Kebangsaan dengan menggunakan tekanan politik dan juga dengan mempolitikkan Sistem Pendidikan Negara.

MAPPIM dan UMMAH mempertegaskan bahawa kami akan menjadi benteng rakyat bagi mempertahankan Sistem Pendidikan Kebangsaan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan juga sebagai bahasa pengantar utama kepada Pendidikan Negara.

Sehingga hari ini himpunan bantahan rakyat kepada Menteri Pendidikan berkaitan pengiktirafan UEC akan tetap diteruskan sehingga dapat mempastikan bahawa UEC akan terus ditolak sepenuhnya daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan.

MAPPIM dan UMMAH juga memberi amaran kepada NGO Pendidikan yang tertentu supaya jangan mempolitikkan isu UEC atas nama keadilan pendidikan serta menggunakan tekanan politik dalam kerajaan dengan memaksa sistem pendidikan sekolah Cina dan UEC ke dalam Sistem Pendidikan Negara.

MOHD ZAI MUSTAFA
Ketua Eksekutif MAPPIM
Ahli Jawatankuasa Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 19/7/2018

- Advertisement -