Fitnah RM90 juta: Tidak wujud kaedah transaksi

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Tidak terdapat sebarang kaedah transaksi kewangan berlaku bagi membuktikan tuduhan kononnya pihak PAS menerima RM90 juta daripada pihak Umno.
 
Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berkata, sekiranya perkara tersebut wujud, pasti terdapat transaksi melibatkan pemindahan antara bank atau akaun pemberi dan penerima.
 
Bahkan, jika berlaku secara tunai pula terangnya, jumlah RM90 juta akan memerlukan satu lori trailer untuk melaksanakannya dengan diiringi pihak keselamatan.
 
“(Cara) Kedua dengan kaedah cek, ia mempunyai nombor akaun, nombor cek, tarikh dan penerima pembayaran. Boleh tahu kepada siapa dan masuk ke dalam akaun siapa.
 
“Ketiga, melalui ‘Telegraphic Transfer’ (TT) juga memerlukan akaun pihak pemberi dan penerima. Di mana transaksi ini dipanggil ‘knock off number test code’ antara Pengurus Bank kedua-dua akaun.
 
“Barulah setelah itu boleh dikreditkan masuk ke dalam akaun wang tersebut,” jelas beliau yang berpengalaman puluhan tahun sebagai Pegawai Kewangan di sebuah bank.
 
Menerusi kaedah keempat yakni internet pula terang Awang, transaksi tidak boleh berlaku melebihi USD10,000 serta mesti diketahui Bank Negara yang memantau.
 
Perkara sama juga dikemukakan beliau sebagai soalan semasa mencelah ucapan membahas Titah DiRaja oleh Ahli Parlimen Kubang Krian pada sesi tersebut hari ini. -HARAKAHDAILY 19/7/2018
- Advertisement -