Ketelusan pentadbiran Umar R.A

- Advertisement -

DI antara sikap Saidina Umar al-Khattab yang menjadi perhatian adalah keteguhan beliau berpegang dengan al-Quran dan as-Sunnah.

- Advertisement -

Beliau sangat tegas terhadap para pimpinan umat Islam ketika beliau bertugas sebagai Khalifah.

Berikut merupakan petikan khutbah Umar R.A kepada rakyat jelata;

يَأَيُّهَا النَّاسُ ، إِنِّي وَاللَّهِ مَا أُرْسِلُ إِلَيْكُمْ عُمَّالا لِيَضْرِبُوا أَبْشَارَكُمْ ، وَلا لِيَأْخُذُوا أَمْوَالَكُمْ ، وَلَكِنِّي أُرْسِلُهُمْ إِلَيْكُمْ لِيُعَلِّمُوكُمْ دِينَكُمْ وَسُنَّتَكُمْ ، فَمَنْ فُعِلَ بِهِ شَيْءٌ سِوَى ذَلِكَ فَلْيَرْفَعْهُ إِلَيَّ ، فَوَالَّذِي نَفْسُ عُمَرَ بِيَدِهِ لأُقِصَّنَّهُ مِنْهُ ، فَوَثَبَ عَمْرُو بْنُ الْعَاصِ ، فَقَالَ : يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ أَرَأَيْتُكَ إِنْ كَانَ رَجُلٌ مِنْ أُمَرَاءِ الْمُسْلِمِينَ عَلَى رَعِيَّةٍ ، فَأَدَّبَ بَعْضَ رَعِيَّتِهِ إِنَّكَ لَتُقِصَّهُ مِنْهُ ؟ قَالَ : إِي وَالَّذِي نَفْسُ عُمَرَ بِيَدِهِ ، إِذًا لأُقِصَّنَّهُ مِنْهُ ، وَكَيْفَ لا أُقِصَّهُ مِنْهُ ، وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقِصُّ مِنْ نَفْسِهِ

 

“Wahai sekalian manusia, ketahuilah sesungguhnya aku, -demi Allah- tidak mengutuskan pegawaiku kepada kalian agar mereka memukul tubuh badan kalian, tidak juga untuk mengambil harta benda kalian. Akan tetapi aku mengirim mereka kepada kalian agar diajarkan agama kalian dan sunnah Nabi S.A.W Maka barang siapa diperlakukan oleh pegawaiku dengan tindakan yang tidak aku perintahkan, maka hendaklah dia melaporkan aduan tersebut kepadaku”.

Demi Allah yang menggenggam jiwaku, apabila perkara tersebut terjadi, aku akan melaksanakan qisas terhadapnya.

Lalu Amru bin al-Aas membalas ucapan Umar R.A dengan berkata;

“Wahai Amirul Mukminin, bagaimana pandanganmu jika ada seorang pemimpin muslim melakukan pelanggaran terhadap rakyat sedangkan dia juga pernah berjasa mendidik rakyatnya dengan baik, apakah engkau akan tetap mengqisasnya?”

Jawab Umar R.A ;

 

“Demi Zat yang menggenggam jiwa Umar R.A, apabila keadaan itu berlaku, aku benar-benar akan melaksanakan qisas. Bagaimana aku tidak melaksanakan qisas terhadapnya sedangkan aku telah melihat Rasulullah S.A.W sendiri mengqisas diri Baginda sendiri?”

(Rujuk Tarikh at-Tobari)

Daripada petikan ucapan tersebut, dapat kita fahami bahawa;

  •      Pemimpin bertugas mendidik pengikut perihal agama dan sunnah Nabi S.A.W
  •      Pemimpin tidak sepatutnya menganiaya dan menekan orang bawahan.
  •      Pemimpin tidak boleh merampas harta rakyat sesuka hati mereka.
  •      Pemimpin yang seleweng layak diqisas. Jika tidak di dunia, kita akan mendakwa mereka di akhirat kelak.
  •      Pemimpin mesti adil. Tidak mengenakan pelbagai peraturan hanya kepada orang bawahan sedangkan dirinya terlepas dari peraturan tersebut.

Peribadi seperti inilah yang telah dimuliakan Allah dengan pembukaan Baitul Maqdis.

Bahkan keadilan Umar R.A menjadikan beliau dihormati kawan dan lawan.

Sungguh kita hari ini perlu meneliti sejarah kegemilangan Islam.

SOFIA ALWANI

17 Julai 2018 -HARAKAHDAILY 18/7/2018

- Advertisement -