Terengganu mahu ganda tarikan pelancongan

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: Usaha menggandakan tarikan pelancongan ke Terengganu akan terus dibina dengan anjakan yang menaikkan perkhidmatan sektor itu dan imej negeri.
 
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, usaha-usaha tersebut memerlukan dokongan para pemain di sektor tersebut.
 
Menurutnya, dengan ‘tagline’ “Indahnya Terengganu”, jenama pelancongan negeri berpotensi besar dimajukan menerusi layanan mesra, senyuman dan kebersihan yang dipelihara.
 
Ketika sama ujarnya, setiap rungutan perlu ditangani dengan tidak bersikap sambil lewa dan mengambil mudah setiap orientasi perkhidmatan diberi termasuk rangkaian pemudahsampaian dan prasarana.
 
Jelas beliau keselesaan pelancong menjadi perkara utama mengekalkan tarikan tersebut, sekali gus janaan sektor itu bakal menampal kekurangan ekonomi yang tidak menentu akibat turun naik harga minyak.
 
Terdahulu sebelum ini perkara sama telah dilontarkan beliau semasa Seminar Hala Tuju Baru Pelancongan Negeri Terengganu di Marina & Resort Pulau Duyong, di sini 12 Julai lalu.
 
“Kita percaya bahawa kini lebih bersedia dinobatkan sebagai negeri pelancongan dengan keselesaan serta 1001 daya tarikan yang akan meninggalkan kenangan manis kepada pelancong yang datang,” ujarnya.
 
Beliau juga berharap peranan itu didukung masyarakat negeri ini dengan menjadikan tempat awam sebagai tanggungjawab bersama yang dijaga sebagaimana rumah sendiri. -HARAKAHDAILY 15/7/2018
- Advertisement -