Taktik menjajah dengan ‘bantuan’ petualang

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Memberi kedudukan kepada kelompok minoriti bermasalah bagi menguasai kelompok majoriti merupakan taktik penjajah untuk melemahkan dominasi kuasa bangsa mahu dijajahnya.
 
Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Klang, Ustaz Abdul Mu’izz Muhammad berkata, implikasi dari taktik tersebut akan menggugat kestabilan dan menjadi bom jangka berupa konflik yang bila-bila masa sahaja boleh meledak.
 
“Provokasi dibiarkan berkeliaran di atmosfera untuk mencabar sensitiviti golongan sasaran. Disebabkan itu mutakhir ini, satu persatu kumpulan dan aliran sesat dalam kalangan umat Islam di Malaysia mula diberi tempat.
 
“Apabila tercetusnya konflik, pelbagai plot yang boleh mereka operasikan sebagai tindak balas. Oleh kerana itu di samping kita berbahas dari sudut teologi, kita juga perlu memperhalusi strategi musuh yang memaksa kita untuk berkonflik seperti yang telah mereka plotkan.
 
“Begitu juga, umat Islam tidak akan dijajah. Melainkan ada dalam kalangan mereka yang bergelar Muslim sanggup menjadi petualang bagi pihak musuh. Bacalah sejarah zaman berzaman, pengkhianat tidak pernah pupus,” ujarnya.
 
Beliau menyedarkan hal tersebut dengan peringatan bahawa pokok tidak akan berupaya ditumbangkan semata-mata dengan mata kapak, melainkan mata kapak ‘dibantu’ oleh kayu dari pokok lain yang sanggup menjadi hulunya. -HARAKAHDAILY 14/7/2018
- Advertisement -