Tiba masa Melayu-Islam kembali berhimpun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Melayu-Islam negara ini dijangka bertindak balas terhadap gugatan dan ancaman politik ke atas kepentingan agama, rakyat dan negara yang berlaku ketika ini.

- Advertisement -

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marsuki membayangkan kemungkinan berulang kebangkitan sebagaimana himpunan kesatuan orang Melayu-Islam tahun 1946.

Menurut beliau, hal tersebut berikutan Kerajaan PH yang dicengkam DAP begitu galak merungkai empat tonggak Perlembagaan Persekutuan sebagai teras keutuhan utama negara ini.

“Situasi hari ini sudah ada ancaman untuk menghakis empat tonggak utama Perlembagaan. Ini seolah-olah menyeru orang Melayu-Islam mengulangi himpunan pernah dilakukan itu dahulu.

“Daripada himpunan itulah mereka mengemukakan agenda kehendak masyarakat Islam pada waktu itu yang kemudian membawa kepada himpunan besar-besaran menentang Malayan Union,” terang beliau.

Jelasnya lagi, himpunan tersebut adalah penentangan kepada Malayan Union setelah melaksanakan banyak perkara berlawanan kepentingan orang Melayu-Islam.

Malah sambungnya, pentadbiran British pada masa itu juga memperluaskan campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri Melayu termasuk menghakis kuasa Raja-raja.

Lebih tercabar juga maklumnya, apabila kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu dan Islam sebagai agama amalan mereka turut digugat.

Kini katanya, DAP pula dilihat ghairah menghakis empat tonggak tersebut iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, institusi Raja selaku punca kestabilan politik, Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan serta hak istimewa Bumiputera khususnya Melayu dan Pribumi Sabah Sarawak. -HARAKAHDILY 13/7/2018

- Advertisement -