Pelantikan jawatan penting negara bawa ke Parlimen 

- Advertisement -

PELANTIKAN Tan Sri Richard Malanjum selaku Ketua Hakim Negara dilihat rentetan dari tindakan DAP melobi sejak sekian lama. Malah, menghimpun perkembangan politik mutakhir ini jelas menampakkan agenda DAP menguasai jawatan-jawatan strategik negara.

- Advertisement -

Namun, tindakan menamakan beliau tanpa melalui Parlimen telah menambah senarai pengkhianatan janji oleh Pakatan Harapan (PH). Walhal dalam Janji 16 (Mengembalikan wibawa Institusi Parlimen) Manifesto PH menyenaraikan perkara tersebut dilaksanakan apabila menerajui pemerintahan.

Janji itu supaya jawatan penting negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mesti disahkan jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat Parlimen.

Sedangkan Parlimen bakal bersidang minggu depan yakni 16 Julai, mengapa PH begitu gopoh dan gelojoh? Kini secara terang-terangan janji itu telah dicincang lumat dan rakyat dibohongi pemimpin negara tanpa segan silu; sebagaimana juga perangai rejim Barisan Nasional (BN) dahulu.

Lebih menggusarkan, pelantikan tersebut tidak mendukung aspirasi dan semangat untuk menjaga Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Beliau punyai reputasi ‘menggerunkan’ terhadap kepentingan Islam sebagaimana penghakiman pernah diberikannya sebelum ini.

Antaranya kes Lina Joy (2007), penggunaan kalimah Allah (2015) dan baharu sahaja kes pertukaran agama anak M Indira Gandhi (2018) yang pernah menggugat. Tan Sri Richard nyata memberi penghakiman berbeza yang menyelisihi Islam, sekali gus membayangkan ‘kecondongan’ beliau.

Sehubungan itu kami menggesa pelantikan-pelantikan penting sedemikian dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan dibincang bagi membaiki tahap integriti serta kepercayaan rakyat kepada semua institusi penting negara. Segala keburukan dan barah dilakukan BN mesti dirawat dan dihentikan.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 13/7/2018

- Advertisement -