‘Hifzuddin’: Takkan Menteri Agama pun pening

- Advertisement -

PERKATAAN ‘hifzuddin’ dalam bahasa Arab. Lihat sekali lalu pun, jelas ia istilah khusus yang berkait dengan Islam. Makna hifz- pelihara, ad-Din dengan ditambah alif lam di hadapan bererti agama yang merujuk khusus kepada Islam. Justeru, hifzuddin bererti pelihara agama Islam.

- Advertisement -

Islam mesti dipelihara kerana ia agama Allah, pemilik alam ini. Allah menyebut (maksudnya): “Sesungguhnya ad-din (yang sebenar) di sisi Allah ialah Islam.” (Aali Imran: 19)

“Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai deen (agama sebenar), maka tidak diterima daripadanya, sedangkan dia di akhirat, termasuk di kalangan orang yang rugi.” (Aali Imran: 85)

Ada banyak cara memelihara agama Islam.

Pertama, beramal dengannya. Paling kurang, secara peribadi. Nabi SAW menyebut dalam hadis, bermaksud: “Kamu adalah benteng kepada Islam. Jangan biarkan Islam diceroboh dari pihakmu.”

Kedua, berjihad untuk tegakkan Islam. Jihad banyak bentuk. Berada dalam kumpulan Islam yang jelas matlamat, tujuan, cara berjihadnya, termasuk melalui politik, adalah cara memelihara Islam.

Ketiga, berdakwah mengajak kepada Islam. PAS sebagai parti dan gerakan Islam yang berteraskan dakwah, tarbiah dan siasah, telah, sedang dan akan menunaikan tugas ini. PAS sampaikan Islam melalui pelbagai cara, tempat dan medium, dari sekecil anak di PASTI, hingga sebesar anak di IPT.

Keempat, menjatuhkan hukuman menurut hukum Islam. Kini, hukum Islam hanya kelihatan di Mahkamah Syariah yang melibatkan institusi keluarga, tidak lebih dari itu. Oleh sebab itu, PAS bersama NGO Islam memperjuangkan RUU355 sebagai sebahagian dari tuntutan menegakkan hukum Islam.

Kelima, Islam dipelihara dengan menolak kemungkaran, maksiat dan segala bentuk faham, hukum, cara, aktiviti yang bercanggah dengan Islam.

Bagaimana pula dengan agama lain dari Islam? Termasuk dalam istilah ‘hifzuddin’? Tidak, kerana ia bukan agama Allah. Kalaupun ia agama langit seperti Kristian dan Yahudi, ia telah diselewengkan oleh penganutnya semenjak ribu tahun sebelum ini, sama ada tentang ketuhanan, kitab-kitab dan undang-undangnya.

Namun, Islam tidak pula menzalimi penganut lain. Ayat Al-Quran menyebut yang bermaksud: ” Tiada paksaan dalam agama” dengan makna manusia bukan Islam tidak dipaksa masuk Islam atau menerima Islam. Allah menyebut dalam ayat berikutnya:

“Sungguhnya telah nyata petunjuk berbanding kesesatan.” Di dunia, bukan Islam bebas mengamalkan agama. Di akhirat, hanya yang Islam selamat.

Kalau ada menteri menyebut ‘hifzuddin’, (pelihara agama) dengan maksud menjaga agama selain Islam, dengan memberi perlindungan dan hak beragama, maka cara menghuraikan istilah itu agak mengelirukan. Ditambah lagi menteri menyebut: ‘Islam itu kan rahmatan lil-alamin’.

Kalau mahu disyarahkan, tentu topik ini menjadi lebih panjang. Saya tidak bermaksud mengajar menteri yang ada kelulusan agama itu, tetapi saya bermaksud agar istilah-istilah agama, termasuk istilah ‘hifzuddin’ ini diguna dengan cara yang betul dan dihuraikan dengan cara yang betul.

Janganlah nanti audien menjadi keliru dan pening dek kerana menteri pun pening. – HARAKAHDAILY 13/7/2018

Penulis adalah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu dan Timbalan YDP PAS Kemaman.

- Advertisement -