Usaha martabat Islam makin samar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hasrat orang Melayu/Islam untuk melihat agama mereka dimartabatkan semakin samar di era kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang.

- Advertisement -

Malah tokoh yang pernah berjuang untuk melihat Islam dijulang dalam pentadbiran negara, kini berada dalam pasukan sama kabinet PH, hanya membisu selepas merasai kehidupan baharu.

Lebih mendebarkan lagi apabila bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Dato’ Seri Gopal Sri Ram menegur PAS yang menolak pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara baru.

Beliau dilapor menyifatkan pandangan PAS itu sesuai dipakai ‘pada zaman gelap’.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, situasi yang berlaku sekarang tidak dinafi cukup membimbangkan umat Islam di negara ini.

Katanya, tokoh yang menerajui jawatan penting dalam bidang perundangan kesemuanya kini diberi kepada orang bukan Islam.

“Kini lengkap tiga tokoh bukan Islam menguasai posisi penting dalam bidang perundangan dengan bermula Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Peguam Negara dan terbaru Ketua Hakim Negara,” katanya di sini.

Kerajaan PH baru-baru ini melantik Dato’ Liew Vui Keong sebagai Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Tommy Thomas (Peguam Negara) dan terbaru Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara.

Che Abdullah yang juga anggota parlimen Tumpat berkata, semua orang tahu kes klasik Mahkamah Persekutuan membatal penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi kepada Islam.

Katanya, berdasar laporan media hakim yang undi membatalkan penukaran agama tersebut termasuk Richard Malanjum.

“Kita tidak tahu nasib kes membabitkan pertikaian tentang Islam pada masa akan datang apabila orang bukan Islam diberi kedudukan penting dalam perundangan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/7/2018

- Advertisement -