Malaysia Merdeka

- Advertisement -

MALAYSIA Baharu, ‘jenama’ yang kini popular untuk menggambarkan pentadbiran Malaysia yang baharu di bawah Pakatan Harapan selepas tumbangnya Barisan Nasional pada 9 Mei 2018.

- Advertisement -

shahirMenurut DBP, perkataan ‘BAHARU’ bermaksud membaharui, membaiki, memulakan sesuatu atau menukarkan sesuatu. Manakala perkataan ‘ISLAH’ membawa maksud usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan kepada keadaan yang betul, tepat dan tujuan asal.

Usaha untuk membawa pembaharuan di Malaysia perlu berpaksikan kepada agenda untuk mengembalikan tujuan asal penubuhan Malaysia, iaitu mempertahankan kemerdekaan dan memelihara ‘tiang seri’ negara yang termaktub di dalam Perlembagaan, khususnya kedudukan Agama Islam, Raja-Raja Melayu, Demokrasi Berparlimen serta pemisahan kuasa Legislatif, Judisiari dan Eksekutif.

Justeru Malaysia Baharu yang sebenar bukanlah dengan “membawa sesuatu yang baharu dengan mengambil pemikiran dan pengaruh luar”, tetapi dengan “kembali kepada semangat asal kemerdekaan negara dan ditambah nilai dengan perkara yang lebih baik”.

Teringat saya akan ungkapan doa yang dipimpin oleh Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus, sempena detik bersejarah laungan “Merdeka” pada tanggal 31 Ogos 1957 oleh Tunku Abdul Rahman.

Menghayati setiap bait doa tersebut akan mendekatkan kita kepada hati nurani generasi terdahulu yang mendambakan Malaysia Baharu, seumpama negara yang baru ‘dilahirkan’ semula.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
12 Julai 2018

Doa Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said Pada Hari Kemerdekaan 1957.

Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekalian pentadbir awam, jemaah Menteri, para Sultan dan Raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak Agama, memelihara hak keistimewaan Umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan.

Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati.

Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami, hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.

Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakan.

Doa ini dibaca sempena pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Sumber:http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/163-himpunan-doa-dan-zikir/562-doa-syeikh-ahmad-bin-mohd-said-mufti-pertama-pada-hari-kemerdekaan-1957

- Advertisement -