Langkah seimbang hadapi ancaman

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu mengambil langkah Dar’ul Mafasid (menolak kerosakan) dan Jalbul Masalih (membawa kebaikan) menghadapi unsur-unsur ancaman menerusi kuasa politik yang sedang berlaku di negara ini.
 
Penulis Prolifik, Alang Ibn Shukrimun berkata, perkembangan terkini menunjukkan orang kafir sepakat memilih Ketua Hakim Negara dari pihak beragama Kristian Evangelis.
 
Bahkan terdahulu sebelum itu ujarnya, Peguam Negara dan Menteri Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga daripada penganut fahaman tersebut.
 
“Mereka mengetahui sektor kehakiman dan perundangan sangat kritikal untuk dikuasai bagi menjayakan sebarang agenda. Orang Islam pula masih mempertikaikan agenda memartabatkan Undang-undang agama sendiri.
 
“Nak ikut al-Quran pun bermacam alasan diberi. Tidak kondusiflah, masyarakat majmuklah, baiki ekonomi dululah, macam-macam,” kesali beliau yang juga sedang melakukan kajian mengenai Kristian Evangelis peringkat Sarjana.
 
Mengungkap interpretasi politiknya, Alang atau nama sebenarnya Muhammad Marwan M Shukrimun yakin pengundi PH kini merasa menyesal walaupun hanya ada sebesar zarah iman di hati mereka.
 
Namun soalnya, apakah mereka yakin penyesalan semata-mata memadai bagi mengampunkan kesalahan tersebut.
 
Sarjana agama itu turut menyentuh isu pendidikan di mana menurutnya bantahan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah satu keperluan mendesak.
 
Jelasnya, bantahan itu adalah langkah Dar’ul Mafasid kerana pelaksanaannya bakal menghakis patriotisme dan keluhuran Perlembagaan.
 
“Kedudukan Bumiputera dan Bahasa Kebangsaan adalah perkara yang bakal menerima ancaman. Disamping itu kita juga perlu mengambil langkah Jalbul Masalih menuntut pengiktirafan sijil-sijil Sekolah Agama Rakyat (SAR).
 
“Ia bukan sahaja bakal memperkukuhkan lagi peruntukan Perlembagaan, bahkan mampu mengarusperdanakan SAR yang semakin mendapat tuntutan masyarakat Malaysia,” serunya.
 
Maklum beliau, perkara tersebut telah diusahakan pada penggal lepas melalui Majlis Perundingan Islam Kebangsaan di bawah JPM yang dianggotai pelbagai pihak.
 
Jelasnya, bukan sahaja daripada pihak kerajaan, tetapi juga parti-parti politik bukan kerajaan di mana PAS turut diwakili oleh al-Marhum Dato’ Dr Haron Din dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed serta NGO dan individu.
 
Oleh itu harapan beliau, usaha sedemikian tidak dihentikan di bawah kerajaan baharu kini yang diterajui PH. -HARAKAHDAILY 12/7/2018
- Advertisement -