Zam benci institusi tahfiz – Permata Al Quran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendapat bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) supaya sekolah tahfiz ditutup tidak bersifat membina tetapi lebih merujuk kebencian peribadi beliau terhadap institusi tahfiz, golongan agama dan pendakwah.

- Advertisement -

“Pandangan beliau yang menghina cabang institusi keilmuan Islam itu telah menimbulkan keresahan umat Islam yang menyintai Al Quran, ingin mendalami Al Quran dan meletakkan Al Quran sebagai panduan hidup,” ujar Presiden Persatuan Permata Al Quran Malaysia, Ustaz Manolito Mohd Dahlan dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, sebagaimana di bawah.

PERSATUAN Madrasah Tahfiz Al Quran Malaysia (Permata Al Quran) kesal dengan kenyataan di dalam portal Malaysiakini pada 7 Julai 2018 dengan tajuk ‘Zam Saran Mujahid Tutup Sekolah Tahfiz’. Ianya dilihat sangat keterlaluan dan dibelenggu kejahilan terhadap realiti sebenar keadaan institusi tahfiz di negara ini. Pendapat Zam tidak bersifat membina tetapi lebih merujuk kebencian peribadi beliau terhadap institusi tahfiz, golongan agama dan pendakwah. Pandangan beliau yang menghina cabang institusi keilmuan Islam itu telah menimbulkan keresahan umat Islam yang menyintai Al Quran, ingin mendalami Al Quran dan meletakkan Al Quran sebagai panduan hidup.

Islam mengajar umatnya beradab dengan Al Quran dan Rasulullah SAW melalui sebuah hadith sahihnya mengajar kita bahawa ‘sebaik-baik orang ialah yang belajar dan mengajar Al Quran’. Permata Al Quran meminta YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa agar tidak mempedulikan kenyataan Zam itu malah wajar menasihati Zam agar jangan mencampuri urusan pentadbiran Islam oleh kerajaan baru.

Permata Al Quran yakin YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mempunyai visi dan misi untuk memajukan lagi sistem pendidikan Islam termasuk sekolah-sekolah tahfiz di Malaysia. Masa depan Islam di Malaysia dengan segala institusi yang mendukungnya harus terus maju dan ditambahbaikan dan bukannya mengundur ke belakang dengan menutup institusi pendidikan agama yang telah diterima rakyat seperti yang disarankan oleh Zam. Aktiviti dan amalan Islam adalah suatu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri. Jika sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dibiarkan tumbuh subur, kenapa institusi yang dekat di hati umat Islam hendak ditutup?

Maahad-maahad tahfiz telah wujud sejak 1961 dan sehingga kini terdapat 1,281 buah maahad tahfiz di seluruh negara. Pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan terhadap institusi umat ini. Pihak Permata Al Quran umpamanya telah mengambil pelbagai inisiatif dengan kerjasama pihak kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri dan swasta untuk memperkasakan institusi tahfiz seperti berikut:

1. Membantu mengubal Dasar Pendidikan Tahfiz Negara pada tahun 2016 yang akan mengangkat pendidikan tahfiz sebagai pendidikan arus perdana (mainstream) negara.

2. Membantu mewujukan Maahad Tahfiz Sains yang telah melahirkan ramai graduan huffaz di bidang professional seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya.

3. Kewujudan Tahfiz Tvet hasil kerjasama dengan Kolej Komuniti, Giat Mara dan politeknik yang telah dapat melahirkan huffaz yang berkemahiran, malah telah berjaya mewujudkan Program Tahfiz Aero Angkasa hasil kerjasama dengan Syarikat CTRM .

4. Pihak persatuan juga telah bekerjasama dengan pihak Kementerian Sumber Manusia untuk melatih pelajar tahfiz dengan pendidikan NOSS (National Occuputional Skill Standard) meliputi pengurusan tahfiz, pengajaran tahfiz dan pengurusan masjid. Ini akan dapat melahirkan huffaz yang berketerampilan dan bernilai tambah (value added).

5. Pihak persatuan sentiasa berkerjasama dengan pihak kerajaan, insititusi pengajian tinggi dan pihak swasta untuk mengadakan pelbagai kursus dan latihan tambahan untuk menambah keilmuan pelajar-pelajar tahfiz.

6. Pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan oleh maahad-maahad tahfiz terutama dalam sistem pendidikan tahfiz merangkumi pembangunan kurikulum pendidikan, latihan perguruan, sistem pengurusan, infrastruktur sekolah dan keselamatan.

Pendidikan Al Quran adalah teras kepada agama Islam. Pendidikan Al Quran juga telah diiktiraf sebagai pendidikan yang terbaik yang mampu untuk melahirkan jati diri dan membentuk syaksiah insan. Pada hari ini banyak insitusi pendidikan arus perdana berintegrasi dengan sistem hafazan Al Quran sehingga melahirnya Sekolah Imtiaz, MRSM Ulul Albab , Sekolah Tahfiz Integrasi Sains & Teknologi dan wujud pula kerjasama langsung dengan institusi pengajian tinggi awam sehingga lahir lebih ramai pelajar cemerlang dalam pengintegrasian ilmu sains teknologi dan hafazan Al Quran.

Pihak persatuan juga meminta kepada mana-mana pihak yang prejudis dengan institusi tahfiz supaya berlaku adil dan lebih teliti di dalam mengeluarkan kenyataan. Jangan bermain dengan sentimen kebencian dan kebebalan lama yang ‘ellergic’ dengan sesuatu yang bersifat agama. Era ini adalah era kebangkitan Islam di seluruh dunia, zaman merapu dan menjelekkan agama seperti yang pernah dilakukan oleh Zam dahulu telah berakhir.

Sehubungan itu, pihak Permata Al Quran tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap Zam atas perbuatan menghasut sekiranya beliau masih terus-menerus menghina institusi agama Islam seperti sekolah-sekolah tahfiz. Ini bagi mengelak berlakunya kemarahan rakyat, perpecahan, permusuhan serta tanggapan negatif terhadap institusi Islam.

Kami mengharapkan agar pihak Kerajaan Baru pasca PRU14 dapat memperkukuhkan lagi insititusi tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama dengan menyediakan lebih banyak peruntukan, menyediakan pelbagai latihan-latihan malah memberi ruang yang lebih luas untuk lepasan maahad tahfiz supaya dapat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan menyediakan bidang pekerjaan dalam pelbagai sektor. – HARAKAHDAILY 10/7/2018

- Advertisement -